Pengurusan visa cekap kunci tarikan pelajar asing
Gambar Muhammad Iqbal Roslan
SINTOK, 21 April 2025: Pengukuhan kerjasama strategik dalam pengurusan visa dengan rakan institusi antarabangsa amat penting bagi memperkukuhkan kerjasama dua hala dan membina persefahaman jangka panjang bagi mencapai sasaran pertumbuhan pelajar antarabangsa yang mampan.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pengurusan visa yang cekap dan kerjasama strategik bersama ejen pengambilan pelajar merupakan aspek penting yang tidak boleh diabaikan.
Menurutnya, pengurusan visa merupakan elemen kritikal yang menentukan kelancaran kemasukan dan keberadaan pelajar asing.
Oleh itu, katanya, kerjasama erat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Education Malaysia Global Services (EMGS) adalah sangat penting dalam memastikan sistem yang telus, cekap dan mesra pelanggan.
“UUM komited dalam memacu Dasar Pengantarabangsaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf global dan seiring dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2023-2030 (Pendidikan Tinggi).
“UUM terus aktif menarik minat pelajar antarabangsa dan memantapkan kedudukan sebagai pusat kecemerlangan serantau,” katanya dalam teks yang dibaca oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali yang mewakili Naib Canselor UUM dalam Majlis Perasmian Bengkel Pemantapan Pengurusan Visa dan UUM International Student Recruitment Agent Workshop bersempena Hari Bersama Pelanggan CIAC pada 17 April lalu.
Beliau berkata, dalam landskap pendidikan global yang kompetitif, ejen pengambilan pelajar juga memainkan peranan penting dalam menjana kemasukan pelajar antarabangsa ke UUM dan hubungan profesional dengan ejen perlu diperkukuh melalui latihan, pemantauan serta strategi pemasaran bersama.
Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), UUM telah mengambil inisiatif menganjurkan bengkel tersebut sebagai ruang untuk menyelaraskan pemahaman dasar dan menyelesaikan isu-isu lapangan bersama semua pihak berkepentingan termasuk dekan dan timbalan dekan pusat pengajian.
CIAC turut menjemput wakil Pejabat Antarabangsa dari UniMAP, UniSHAMS dan AIU, bagi berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan pelajar antarabangsa. – Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz