Campus

Program OSH perkasa kebolehpasaran, 120 pelajar sertai pensijilan OSH

Gambar oleh: Nur Farah Johari

SINTOK, 10 – 12 April 2026: Seramai 120 pelajar telah menyertai Program Pensijilan Occupational Safety and Health (OSH) Fasa tiga yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 April 2026.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) serta Tatacara Sdn. Bhd.

Penganjuran program ini merupakan kesinambungan kepada siri program OSH yang dilaksanakan secara berterusan sebagai usaha memperkukuh kebolehpasaran graduan melalui pendedahan kepada kemahiran industri yang relevan.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan pelajar mengenai aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, selaras dengan keperluan industri masa kini yang menitikberatkan pematuhan terhadap piawaian keselamatan di tempat kerja.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai modul berkaitan OSH termasuk pengurusan risiko, prosedur keselamatan, serta amalan terbaik dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.

Program ini turut menampilkan tenaga pengajar berpengalaman dari pihak industri yang berkongsi ilmu serta pengalaman sebenar, sekali gus memberi gambaran jelas kepada pelajar tentang situasi di tempat kerja sebenar.

Menurut Pegawai Psikologi PPKKG, Nur Farah Johari, penyertaan dalam program seperti ini memberi nilai tambah yang signifikan kepada pelajar, khususnya dalam persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Beliau menyatakan bahawa pensijilan yang diperoleh melalui program OSH ini bukan sahaja meningkatkan tahap pengetahuan pelajar, malah boleh dijadikan sebagai kelebihan kompetitif dalam resume mereka.

“Pensijilan ini merupakan satu nilai tambah yang penting dalam resume pelajar apabila mereka memasuki pasaran kerja. Majikan kini bukan sahaja menilai pencapaian akademik, tetapi turut memberi perhatian kepada kemahiran tambahan dan pendedahan industri yang dimiliki oleh calon.

Melalui program ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan teori, tetapi juga kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan semasa industri,” jelas beliau.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dr. Norzalila Jamaluddin turut menyambut baik penganjuran program ini dan menekankan kepentingan pendedahan awal kepada elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, program seperti ini mampu membentuk sikap proaktif serta meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan budaya kerja yang selamat.

“Pendedahan awal kepada aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah amat penting dalam melahirkan graduan yang bersedia untuk memenuhi kehendak industri.

Program seperti ini bukan sahaja memberi pengetahuan tambahan, malah membantu membentuk sikap dan nilai profesional dalam diri pelajar agar lebih peka terhadap persekitaran kerja yang selamat dan beretika,” ujar beliau.

Kerjasama strategik antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Tatacara Sdn. Bhd. ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah kompeten dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Menariknya, kesinambungan program ini akan diteruskan dengan sesi seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 19 April 2026, menandakan komitmen berterusan pihak penganjur dalam memperluas peluang penyertaan kepada lebih ramai pelajar.

Penganjuran program secara berterusan ini membuktikan komitmen universiti dalam menyediakan pelajar dengan kemahiran tambahan yang diperlukan untuk memenuhi kehendak pasaran kerja, sekali gus meningkatkan daya saing graduan di peringkat global. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button