Education

20 pelajar UUM ambil peluang teroka kepentingan literasi kewangan dalam Program APEX

Gambar Dr. Fikriyah Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Mac 2025: Kegagalan dalam merancang kewangan daripada muda berkemungkinan mampu untuk memberikan kesan yang buruk dalam jangka masa panjang khususnya kepada simpanan pada masa akan datang.

Sehubungan itu, ilmu pengurusan kewangan yang baik dalam kalangan generasi muda bukan sahaja membantu menguruskan simpanan, tetapi juga menyediakan cara untuk membina masa depan yang lebih stabil.

Seramai 20 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil peluang ini dengan menyertai Program AIA Program Excellence (APEX) anjuran AIA Elite Academy yang dijalankan selama 10 hari.

Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah berkata, objektif utama program ini adalah untuk menyediakan set mentaliti dan kemahiran yang betul ke arah pengurusan kewangan peribadi dengan pendidikan celik kewangan serta memberi pendedahan tentang kerjaya kepada Industri Perkhidmatan Kewangan.

Menurutnya, antara objektif lain adalah untuk memupuk kemahiran tenaga kerja generasi akan datang seperti pembentangan perniagaan, pengurusan diri, etika perniagaan.

“Program seperti ini sangat bermanfaat dan bagus kepada pelajar kerana ia dapat membantu pelajar dalam pengurusan kewangan dengan baik serta dapat mempelajari kemahiran-kemahiran semasa yang diperlukan industri.

“Di samping itu, pelajar juga berpeluang mendapatkan pengalaman secara langsung serta dapat membina kerjaya bersama pihak AIA,” katanya.

Pada 21 Februari lalu, AIA Elite Academy telah mengadakan Majlis Graduasi Program APEX bagi meraikan pelajar yang berjaya menamatkan program ini di Menara AIA Sentral. Dalam majlis ini, pelajar bukan sahaja mendapat sijil penyertaan malah turut menerima elaun tunai daripada AIA.

Turut hadir, Penyelaras Program School of Hard Knocks (SoHK), Dr. Adilah Azhari. – Anis Zulaikha Kamal

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button