ASEAN Student Mobility sempena AEF 2025 kukuh kerjasama dalam bidang pendidikan
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 18 Februari 2025: Sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) telah merangka pelbagai inisiatif untuk memperkasakan pendidikan tinggi dan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) telah diberi kepercayaan untuk menerajui ASEAN Student Mobility Programme sempena penganjuran ASEAN Universities Exhibition and Forum 2025 (AEF2025) oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) pada 24 dan 25 Februari 2025.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, program ini bertujuan mengukuhkan kerjasama pendidikan, memupuk kolaborasi akademik rentas sempadan dan memperkaya pertukaran budaya dalam kalangan pelajar ASEAN selari dengan aspirasi integrasi serantau.
ASEAN Student Mobility Programme bermula 11 hingga 18 Februari 2025 yang julung kali diadakan ini menghimpunkan 500 pelajar dari pelbagai universiti di seluruh ASEAN, menawarkan gabungan dinamik aktiviti akademik, inovasi, dan pendedahan silang budaya. Terkini, UUM menerima penyertaan daripada lebih 100 universiti dari seluruh ASEAN.
Program ini telah bermula pada 11 Februari lalu secara dalam talian dengan ASEAN Young Talent Speaker Contest, pertandingan pengucapan awam yang membuka ruang untuk perbincangan mengenai isu-isu kritikal ASEAN.
Seterusnya, dari 19 hingga 23 Februari, pelajar akan ditempatkan di 13 universiti di seluruh Malaysia bagi memahami landskap pendidikan tinggi Malaysia dan kepelbagaian budaya sambil menyelami Sustainable Development Goals (SDGs) melalui ASEAN Future Innovators Challenge.
KPT melalui EMGS, UUM dan universiti lain sedang menerajui usaha memperkukuh penglibatan pelajar serantau dan matlamat jangka panjang adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan terulung di ASEAN.
Dengan UUM sebagai penganjur bersama EMGS dan sebagai universiti hos utama, program ini mencerminkan komitmen UUM dalam jaringan hubungan antarabangsa terutama di peringkat ASEAN dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi serantau serta melahirkan bakat global yang berdaya saing.