Education

ICIFS tekan kepentingan hubungan prinsip kewangan Islam dan global

Gambar Dr Noraziah Che Arshad dan Dr Tubagus Thresna Irijanto

BRUNEI, 12 Februari 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam(IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi rakan kolaborasi dalam penganjuran seminar antarabangsa The 1st International Conference on Islamic Finance & Sustainability (ICIFS) 2025 yang dianjurkan oleh UBD School of Business and Economics (UBDSBE), Universiti Brunei Darussalam.

Persidangan ini telah berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 4 hingga 6 Februari lalu yang membabitkan 10 pensyarah daripada IBS, UUM sebagai pembentang dan peserta.

Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor turut dijemput sebagai salah seorang panelis dalam sesi perbincangan di seminar ini, manakala Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi IBS, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab dijemput sebagi panelis dalam sesi editor jurnal dan buku, sambil mempromosikan International Journal of Islamic Business (IJIB) UUM seliaan IBS.

Sebanyak 10 kertas kerja daripada IBS dibentangkan dalam seminar ini dan dua kertas kerja lagi daripada OYAGSB.

Bertemakan ‘The Role of Islamic Finance in Achieving Sustainable Development’, persidangan ini menekankan kepentingan hubungan antara prinsip kewangan Islam dengan usaha global ke arah kelestarian.

Dr. Selamah berkata, ia bertujuan merapatkan jurang antara teori dan amalan kewangan Islam dalam pembangunan mampan serta menggalakkan perbincangan mengenai bagaimana sistem kewangan Islam dapat terus diselaraskan dengan matlamat pembangunan lestari.

Antara topik yang dibincangkan termasuklah pembasmian kemiskinan, pemerkasaan gender, pembangunan infrastruktur hijau, serta keterangkuman kewangan. Semua ini mencerminkan peranan transformatif kewangan Islam dalam membentuk sistem kewangan global yang lebih inklusif, berdaya tahan, dan mampan.

Sebagai penganjur utama, UBD School of Business and Economics (UBDSBE) telah menjadi fasilitator kepada pertukaran intelektual ini dengan menghimpunkan ahli akademik, pengamal industri, pembuat dasar, dan pemikir terkemuka.

Hasil perbincangan serta penyelidikan yang dikemukakan dalam persidangan ini bukan sahaja akan menangani cabaran semasa, malah akan membuka jalan ke arah masa depan yang lebih mampan dan adil bagi semua.

Seminar ini akan diadakan setiap tahun dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) sebagai salah sebuah universiti yang baharu mendapatkan akreditasi AACSB dua tahun lepas berhasrat untuk mengadakan seminar antarabangsa ini sebagai acara tahunan.

IBS akan usahakan untuk meneruskan kolaborasi ini dengan pihak UBD dan memperluaskannya dalam penerbitan, penyelidikan, penawaran dual degree, mobiliti dan latihan-latihan profesional. – Dr Noraziah Che Arshad dan Dr Tubagus Thresna Irijanto

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button