Kerjasama pendidikan Malaysia-Thailand: UUM dan Kementerian Pengajian Tinggi Thailand bincang pendekatan baharu
SINTOK, 18 Mac 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan rasmi delegasi dari Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan, dan Inovasi, Thailand, semalam.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan telah menyambut kedatangan Penasihat Menteri Pengajian Tinggi, Thailand, Dr. Pechdau Tohmeena di EDC-UUM.
Tujuan kunjungan adalah untuk membincangkan kerjasama strategik antara kedua pihak termasuk kerjasama akademik dalam penawaran kursus persediaan Ujian Kompetensi Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar Thailand dengan tujuan untuk meningkatkan daya saing graduan di peringkat antarabangsa.
Melalui kerjasama ini, UUM terus komited memperkukuhkan hubungan pendidikan di peringkat serantau dan mengembangkan rangkaian akademik antara Malaysia dan Thailand.
Turut serta, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar.