Campus

29 EXCO baharu PPAP terima watikah pelantikan, galas amanah perkukuh kepimpinan pelajar

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 8 Julai 2026 – Seramai 29 pelajar menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan (PPAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi sesi 2026/2027 dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan yang berlangsung di Sintok Roast, hari ini.

Majlis penyerahan watikah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman, diiringi Timbalan Pengarah (Pembangunan Pelajar), Encik Mohd Idzwan Yacob, sekali gus menandakan bermulanya tanggungjawab rasmi barisan EXCO Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan (PPAP) sesi 2026/2027 dalam menerajui kepimpinan pelajar.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Muhammad Fuad berkata pelantikan sebagai EXCO bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, komitmen dan rasa tanggungjawab.

Beliau menegaskan bahawa setiap EXCO perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar serta berperanan sebagai penghubung utama antara warga pelajar dan pihak pengurusan universiti dalam memastikan setiap isu berkaitan pelajar dapat ditangani secara berkesan.

“Pemilihan sebagai EXCO bukanlah semata-mata kejayaan populariti, sebaliknya ia merupakan satu pemberian amanah yang diiringi tanggungjawab besar untuk digalas. Pengundi mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada anda,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan erat antara kepimpinan pelajar dan pihak pengurusan universiti akan terus memperkukuh pembangunan Pusat Asasi Pengurusan.

Menurut beliau, pihak pengurusan universiti sentiasa menyokong pelaksanaan program dan aktiviti yang memberi impak positif kepada pembangunan pelajar, selaras dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang holistik.

Sementara itu, Mantan Presiden PPAP sesi 2025/2026, Ahmad Khidir Ahmad Nazri, melahirkan keyakinan terhadap kemampuan barisan kepimpinan baharu untuk meneruskan legasi kecemerlangan persatuan.

Beliau berkata, setiap EXCO yang dilantik telah diberikan kepercayaan oleh warga pelajar dan perlu memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya melalui kepimpinan yang berintegriti, semangat berpasukan serta kesediaan untuk berkhidmat kepada rakan mahasiswa.

Beliau turut berharap kepimpinan baharu mampu membawa PPAP ke tahap yang lebih cemerlang melalui pelbagai inisiatif yang kreatif, inklusif dan berimpak, sekali gus menyerlahkan potensi persatuan sebagai platform pembangunan kepimpinan pelajar di Pusat Asasi Pengurusan.

Majlis turut menyaksikan sesi penyerahan sijil penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya EXCO Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2026/2027 sebagai tanda penghargaan atas usaha, komitmen dan dedikasi mereka dalam menjayakan proses pemilihan kepimpinan pelajar.

Selain itu, berlangsung juga sesi serah tugas Presiden daripada Ahmad Khidir Ahmad Nazri kepada Aiman Afiq Ardi sebagai Presiden PPAP sesi 2026/2027, sekali gus menandakan peralihan kepimpinan secara rasmi.

Mengakhiri ucapannya, Prof. Fuad merakamkan penghargaan kepada barisan EXCO sesi 2025/2026 atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan, di samping mengucapkan tahniah kepada 29 EXCO yang baharu dilantik.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button