SoIS perkukuh kerjasama strategik dengan IDFR dan SUHAKAM
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero
KUALA LUMPUR, 8 Julai 2026: Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan strategik ke dua agensi utama negara iaitu Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara institusi akademik dan agensi yang berkaitan secara langsung dengan bidang pengkhususan SoIS.
Delegasi SoIS diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman dan turut disertai oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Shazwanis Shukri; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero dan Pengarah Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Prof. Madya Dr. Muhammad Zaki Ahmad.

Sesi perbincangan di IDFR telah diadakan bersama Ketua Pengarah IDFR, Dato’ Zainal Rahim Zainuddin serta pegawai-pegawai daripada bahagian berkaitan.
Di SUHAKAM pula, sesi perbincangan telah diadakan bersama Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Md Yunos, sebahagian barisan pengurusan tertinggi serta warga kerja SUHAKAM.
Dr. Nazariah berkata, lawatan tersebut bertujuan mengaktifkan semula Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai sebelum ini, di samping meneroka peluang kerjasama yang lebih luas dalam bidang akademik, penyelidikan, penerbitan, pembangunan modal insan serta pelaksanaan program berimpak tinggi yang memenuhi keperluan semasa negara dan masyarakat.
Perbincangan turut memberi penekanan kepada usaha memastikan pelajar SoIS terus diberi peluang menjalani latihan industri di kedua-dua agensi sebagai platform untuk meningkatkan pendedahan profesional, kompetensi serta kebolehpasaran graduan.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pelaksanaan program bersama yang melibatkan pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran dan penglibatan komuniti dalam isu-isu berkaitan keselamatan negara, hal ehwal antarabangsa dan perniagaan antarabangsa.
Kerjasama ini dijangka dapat merapatkan jurang antara akademia dan amalan di lapangan, di samping menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat melalui penyampaian ilmu dan kepakaran yang lebih berimpak.
Lawatan strategik ini mencerminkan komitmen berterusan SoIS dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi-agensi strategik negara bagi memastikan penawaran program akademik, penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat kekal relevan dengan keperluan semasa.
Melalui kerjasama ini, SoIS komited untuk terus menjadi rakan strategik kepada agensi kerajaan dalam pembangunan dasar, pembangunan modal insan serta penghasilan ilmu yang memberi manfaat kepada negara dan masyarakat.



