Penjawat CUIC teroka peluang kerjasama di Forum Perniagaan Kazakhstan-Malaysia
Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya
PULAU PINANG, 12 Mac 2025: Seramai empat penjawat Pusat Kerjasama Industri dan Universiti (CUIC) berpeluang menyertai Business Forum Kazakhstan – Malaysia yang telah diadakan di Hotel St. Giles Wembley.
Mereka ialah Timbalan Pengarah Bahagian Jaringan Industri, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa; Penyelaras Latihan Industri UUMCAS, Dr. Nuramalina Mohamad Na’in; Penyelaras Latihan Industri UUMCOB, Dr. Safwan Marwin Abd Murad, dan Penyelaras Latihan Industri UUMCOLGIS, Dr. Zuliana Azwa Zulkifli.
Forum ini merupakan platform penting untuk membina jaringan dan meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan, pembangunan, pelancongan, serta mineral dan perlombongan antara kedua-dua negara.
Acara yang dianjurkan oleh Konsulat Kehormat Kazakhstan di Pulau Pinang dengan sokongan Kedutaan Kazakhstan ini membawa tema “Discover The Heart of Eurasia: Unveil New Vast Market & Business”.
Forum ini turut dihadiri oleh wakil kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi, media, serta wakil industri dari kedua-dua negara. Kehadiran pelbagai pihak berkepentingan ini telah menjadikan forum ini sebagai landasan strategik bagi membincangkan peluang kerjasama antara Malaysia dan Kazakhstan.
Forum ini telah dirasmikan oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Wong Hon Wai, serta turut dihadiri oleh Dato Wira Louis Ng, Konsul Kehormat Republik Kazakhstan di Pulau Pinang.