Education

Program Permata Emas suntik keceriaan, perkasa kebajikan warga emas di Pawe Durani

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abd Manaf

PERLIS, 24 Mei 2026: Seramai 19 pelajar Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengikuti kursus SSWK3133 Kerja Sosial dengan Warga Tua telah berjaya menganjurkan Program Permata Emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Durani, Perlis, baru-baru ini.

Pensyarah Kursus, Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abd Manaf berkata, program ini bertujuan memperkasakan kesejahteraan fizikal dan mental golongan warga emas melalui pelbagai aktiviti interaktif dan pendidikan kesihatan. Penganjuran program tersebut turut mendapat kerjasama strategik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis serta Pertubuhan Kebajikan Prihatin Kedah.

Majlis dimulakan dengan sesi taklimat berkaitan latar belakang dan peranan PAWE Durani yang disampaikan oleh ahli jawatankuasa pusat berkenaan sebelum diteruskan dengan pelbagai aktiviti bersama 25 warga emas yang hadir.

Antara pengisian utama program termasuk aktiviti Chairobik, ceramah refleksologi serta bengkel pengurusan stres yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan penjagaan kesihatan kendiri dan kesejahteraan emosi dalam kehidupan seharian.

Turut mencuri perhatian ialah slot Aktiviti Santai yang merangkumi perbincangan berkumpulan, permainan Kad Memori, karaoke lagu-lagu lama dan aktiviti Lukisan Kenangan.

Aktiviti tersebut bukan sahaja berjaya merangsang fungsi kognitif dan emosi warga emas, malah mengeratkan hubungan antara generasi muda dan golongan warga tua dalam suasana penuh harmoni dan mesra.

Dr. Abdul Razak berkata, program berkenaan turut memberikan pengalaman pembelajaran lapangan yang sangat bermakna kepada para pelajar dalam memahami keperluan sebenar golongan warga emas serta pendekatan kerja sosial yang lebih holistik dan berempati.

Menurutnya, program seperti ini bukan sahaja memperkukuh kesejahteraan warga emas, malah menjadi platform penting dalam membina masyarakat yang lebih prihatin, penyayang dan inklusif.

“Walau bagaimanapun, kita turut mengakui terdapat beberapa cabaran sepanjang pelaksanaan program, khususnya dari segi pengurusan masa bagi setiap slot aktiviti. Sesi bengkel yang melibatkan elemen teori dan praktikal didapati memerlukan tempoh yang lebih panjang agar peserta dapat mengikuti aktiviti dengan lebih selesa dan berkesan.

“Sehubungan itu, penganjur mencadangkan agar tempoh masa bagi aktiviti interaktif pada program akan datang dipanjangkan bagi memastikan penglibatan peserta dapat dilaksanakan secara lebih santai dan optimum,” katanya.

Secara keseluruhannya, Program Permata Emas berjaya mencapai objektifnya dalam menyuntik elemen kegembiraan, kasih sayang dan kesejahteraan hidup kepada warga emas di PAWE Durani. Maklum balas yang diterima daripada peserta juga amat memberangsangkan apabila mereka menyatakan rasa teruja dengan aktiviti yang dijalankan serta berharap dapat berkunjung ke SAPSP, UUM pada masa akan datang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button