Education

STML terus lebar sayap ke MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd

Berita dan gambar Nur Azean Baharom

JOHOR, 27 Januari 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperluaskan rangkaian kerjasama industri dengan menjalin hubungan strategik bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd., dalam kunjungan pengurusan teknikal dan perbincangan mendalam pada 22 Januari lalu.

Kunjungan itu mengetengahkan sinergi strategik antara dua buah universiti terkemuka Malaysia dan salah sebuah penapis gula terbesar di negara ini, dengan fokus khusus kepada peningkatan prestasi Sistem Rawatan Efluen Industri (IETS) dan penggunaan Granular Activated Carbon (GAC). Kerjasama tiga hala ini menandakan satu langkah proaktif dalam menggabungkan kepakaran akademik dengan keperluan operasi industri sebenar.

Delegasi STML diketuai oleh Dr. Maheera Mohamad bersama pakar dari USM telah diterima oleh pasukan MSM Johor bagi tujuan perkongsian pengetahuan dan kajian lapangan. Lawatan tersebut bukan sekadar sesi temu bual, malah merangkumi penilaian operasi secara hands-on, semakan prosedur penyelenggaraan, dan perbincangan teknikal bagi mengenal pasti peluang penambahbaikan sistem rawatan air sisa industri.

Dr. Maheera berkata, kerjasama seumpama ini adalah platform penting bagi UUM dan USM untuk menyumbang kepada industri melalui penyelidikan terpakai dan cadangan teknikal yang boleh dilaksanakan.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini selari dengan visi UUM dalam melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan semasa industri, sekaligus menyokong agenda kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Ketua Operasi MSM Johor, Mohd Amir Bin Redzuan berkata, hubungan ini mencerminkan komitmen bersama dalam menerajui inovasi hijau.

“Kami yakin kolaborasi dengan UUM dan USM akan membawa nilai tambah bukan sahaja kepada operasi kami, tetapi juga kepada komuniti dan alam sekitar .

“Kunjungan ini diharap dapat meneruskan momentum kerjasama jangka panjang antara pihak akademik dan industri, di samping membuka peluang penyelidikan, latihan industri dan projek pelajar dalam bidang kejuruteraan, pengurusan alam sekitar dan teknologi mampan,” katanya.

MSM Johor, yang beroperasi sejak 1964 dengan moto “Sweetening Lives” sangat mengalu-alukan input daripada kedua-dua universiti.

Perbincangan menghasilkan beberapa cadangan bernilai untuk meningkatkan kecekapan rawatan, menjamin pematuhan peraturan alam sekitar, dan memperkukuh komitmen MSM terhadap amalan perindustrian yang mampan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button