Education

UUM perkasa hubungan strategik sedia ada bersama KWSP

Gambar CUIC

KUALA LUMPUR, 8 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan apabila mengadakan perbincangan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membincangkan pelbagai inisiatif berimpak tinggi.

Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, perbincangan utama tertumpu kepada pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) antara UUM dan KWSP bagi meneruskan kerjasama sedia ada serta memperluaskan skop kolaborasi strategik dalam bidang lain.

Menurutnya, KWSP turut mencadangkan penganjuran sesi perkongsian berkaitan sumbangan KWSP kepada staf UUM, pesara dan kakitangan baharu semasa program induksi.

“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman berkaitan faedah, struktur sumbangan dan kemas kini terkini daripada pihak KWSP.

“Kita turut membincangkan potensi pelaksanaan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkaitan literasi kewangan kepada komuniti setempat melalui program berbentuk pendidikan dan kesedaran awam,” katanya.

Dalam aspek pembangunan kurikulum, UUM turut mencadangkan pengintegrasian elemen literasi kewangan dalam kursus Asas Keusahawanan bagi memberikan nilai tambah kepada pelajar dalam aspek pengurusan kewangan peribadi dan keusahawanan.

KWSP juga dijemput menyertai Pesta Konvokesyen UUM melalui penganjuran aktiviti atau penyediaan kaunter maklumat pada hari tersebut. Selain itu, KWSP turut dialu-alukan untuk menyertai sesi promosi pascasiswazah dan perkongsian ilmu anjuran OYAGSB UUM.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama strategik ini melalui tindakan susulan bagi memperincikan pelaksanaan setiap inisiatif yang telah dibincangkan demi manfaat bersama.

Turut serta, Timbalan Pengarah CUIC, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa, dan Penyelaras Latihan Industri, CAS, Dr. Nuramalina Mohamad Na’in.

Jabatan Pengurusan Produk dan Pemasaran KWSP diwakili oleh Pengurus Kanan, Partnership and Strategic Alliance, Khadijah Yusof; Penolong Pengurus Partnership and Strategic Alliance, Muhammad Arif Rosdan; Pengurus Product Strategy and Design, Shazril Amri Taufik, dan Timbalan Pengurus Product Strategy and Design, Navenaswary Magaswaran. – Siti Nazirah Jaya

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button