UUM perkukuh pendidikan TVET melalui Program Akademi dalam Industri (ADI)
Gambar Dr. Siti Aishah Edros
SEBERANG JAYA, 17 Mei 2026: Seramai 20 pensyarah daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Kursus Induksi ADI Perantisan Siri 2 Tahun 2026 anjuran Unit SkillsMalaysia, Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Utara di Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Utara, Pulau Pinang.
Penyertaan pensyarah UUM ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik universiti ke arah mendapatkan pentauliahan pensyarah serta pentauliahan pusat tanggungjawab (PTJ) bagi pelaksanaan program latihan baharu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di UUM.

Antara PTJ yang terlibat ialah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) serta Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA).
Pengurus Pusat Bertauliah ADI UUM (CUIC), Dr. Muhamad Fikri Aziz berkata, penglibatan UUM dalam program tersebut membuktikan komitmen universiti dalam menyokong hasrat kerajaan untuk memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) di institusi pengajian tinggi.

“Walaupun UUM bukanlah dikategorikan sebagai universiti teknikal, namun kita mempunyai ramai tenaga pakar yang turut sama terlibat dalam pendidikan TVET di Malaysia sama ada secara langsung atau tidak langsung, dan saya berharap agar UUM dapat menjadi salah satu penanda aras kepada universiti awam lain, khususnya universiti bukan teknikal, untuk dijadikan rujukan dalam perlaksanaan program latihan SKM di UUM,” katanya.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta telah didedahkan dengan pelbagai input berkaitan pelaksanaan Akademi Dalam Industri (ADI), sistem perantisan, keperluan pentauliahan, standard kemahiran pekerjaan kebangsaan serta aspek pematuhan yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Program tersebut turut membuka peluang kepada UUM untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik bersama pihak industri dan agensi berkaitan dalam memperkasa agenda pembangunan modal insan berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan semasa industri negara. – Dr. Muhamad Fikri Aziz



