CEDI UUM cetus kejayaan usahawan graduan di AKKPT‘25
Gambar Dr. Juhaida Abu Bakar
KUALA LUMPUR, 17 Mei 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus membuktikan peranannya sebagai pemangkin pembangunan usahawan mahasiswa dan graduan apabila graduan UUM, Puteri Saidatul Azwa Tun Ali menerusi platform digital kreatif Ptryali Studio, berjaya meraih tempat ketiga bagi Kategori Keusahawanan Digital: Platform Digital Graduan Terbaik sempena Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 (AKKPT ’25) yang berlangsung di ibu negara Jumaat lalu.

Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan kemampuan graduan UUM dalam membangunkan perniagaan digital yang kreatif, inovatif dan berdaya saing di peringkat kebangsaan. Ptryali Studio yang memfokuskan kepada bidang fotografi dan kandungan kreatif digital berjaya menarik perhatian panel penilai melalui pendekatan penjenamaan digital, strategi pemasaran media sosial dan pengalaman pelanggan yang profesional.
Puteri Saidatul Azwa sebelum ini turut menerima pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Keusahawanan sempena Majlis Konvokesyen Ke-37 UUM. Beliau yang merupakan pengasas Ptryali Studio kini berjaya menjana pendapatan bulanan melebihi RM10,000 hasil daripada pengembangan perniagaan digital yang dibangunkan sejak penglibatannya dalam aktiviti keusahawanan di universiti.
Sepanjang penglibatan beliau di UUM, Puteri Saidatul Azwa telah menerima sokongan dan pemerkasaan daripada CEDI melalui pelbagai inisiatif pembangunan usahawan pelajar dan graduan yang dilaksanakan secara berterusan. Sokongan tersebut meliputi aspek pembangunan perniagaan, pengukuhan penjenamaan digital, penyertaan program keusahawanan, pendedahan industri serta peluang pengembangan jaringan profesional yang membantu memperkukuh hala tuju perniagaan beliau sehingga berjaya diketengahkan di peringkat nasional.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed menzahirkan rasa bangga atas pencapaian yang diraih dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti keberkesanan ekosistem pembangunan keusahawanan UUM dalam melahirkan graduan yang mampu bersaing dalam ekonomi digital. Beliau turut menegaskan komitmen universiti untuk terus memperkukuh budaya inovasi dan keusahawanan selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.
Majlis anugerah berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menegaskan bahawa universiti tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai pusat melahirkan graduan pencari kerja, sebaliknya perlu menjadi institusi yang melahirkan pencipta pekerjaan, pembina industri dan peneroka masa hadapan.
Majlis tersebut turut menyaksikan peluncuran Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 bertemakan “Melonjak Keusahawanan, Memacu Inovasi, Melestari Masa Hadapan” sebagai panduan strategik nasional dalam memperkukuh agenda keusahawanan pendidikan tinggi negara.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri; Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar; Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam; Timbalan Pengarah CEDI, Dr. Saiful Azizi Ismail serta calon finalis UUM iaitu Puteri Saidatul Azwa dan Luluk Fahrunnisya Mohamad Sahli.
Terdahulu, UUM telah mara sebagai finalis dalam Sesi Pembentangan Akhir AKKPT ‘25 pada 9 Disember 2025 bagi tiga kategori utama iaitu Kategori Institusi Terbaik (Universiti), Kategori Keusahawanan Digital: Platform Digital Pelajar Terbaik dan Kategori Keusahawanan Digital: Platform Digital Graduan Terbaik.
Dengan persediaan rapi bersama CEDI, UUM berjaya menampilkan kekuatan ekosistem keusahawanan universiti yang holistik merangkumi kolaborasi industri, pembangunan pelajar dan inovasi digital di bawah ekosistem RICES, sekali gus mengukuhkan kedudukan UUM sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing dalam agenda keusahawanan negara.

Sementara itu, Dr. Juhaida Abu Bakar berkata kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada CEDI untuk terus memperluas agenda pembangunan usahawan mahasiswa dan graduan melalui pendekatan strategik, kolaborasi industri serta pengintegrasian teknologi digital dalam ekosistem keusahawanan universiti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan universiti, ketua pusat tanggungjawab, pembentang, penyelaras dan semua pihak yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan penyertaan dan pelaporan UUM bagi AKKPT ’25.
AKKPT ’25 yang memasuki edisi kelapan penganjurannya mencatatkan peningkatan penyertaan sebanyak 33 peratus melibatkan hampir 400 penyertaan daripada 67 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara. Sebanyak 13 kategori telah dipertandingkan merangkumi bidang keusahawanan digital dan inovatif yang menampilkan penguasaan teknologi masa hadapan seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Teknologi Mendalam (Deep Tech).
Pencapaian ini sekali gus memperkukuh peranan CEDI dan UUM sebagai institusi yang komited dalam melahirkan graduan berdaya saing, inovatif dan mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan pada masa hadapan. – Akmal Ahlami Md Rozai



