Teater Nadrah raih sambutan luar biasa
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 5 Januari 2025: Teater Nadrah yang dipentaskan di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menarik lebih 1,000 penonton pada malam pembukaannya, Jumaat lalu.
Program ini dianjurkan oleh pelajar Semester 7, Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM, sebagai sebahagian daripada program SULAM (Service Learning Malaysia) bagi kursus SBLSK4014 Pengurusan dan Pemasaran Karya Kreatif.
Teater ini dihasilkan melalui kerjasama erat antara pelajar dan pihak industri, menjadikannya satu platform unik untuk menghubungkan universiti, industri, dan masyarakat luar.
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) SLCP, Dr. Maizatul Azura Yahya selaku penasihat produksi berkata, teater ini bukan sahaja mengangkat isu sejarah dan budaya tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar untuk membina kemahiran pengurusan, kepimpinan, dan kreativiti.
“Teater Nadrah ini adalah hasil kerja keras pelajar yang berjaya menggabungkan elemen seni dan kemanusiaan untuk mencipta satu pementasan yang bermakna,” katanya.
Pengarah teater, Hanafi Zulkepli turut memuji dedikasi pelajar yang memberikan komitmen penuh untuk memastikan kejayaan pementasan ini.
Beliau menyatakan bahawa teater ini bukan sekadar persembahan tetapi juga satu pengalaman pembelajaran yang mendalam bagi semua pihak yang terlibat.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed turut meluahkan rasa kagumnya terhadap pencapaian pelajar dan produksi ini.
“Program ini berjaya melibatkan pihak industri dan masyarakat luar, sekali gus membuktikan kebolehan pelajar kita untuk menganjurkan program berkualiti tinggi yang mampu memberi impak besar kepada komuniti,” ujarnya.
Teater Nadrah bukan sahaja memukau penonton dengan jalan cerita yang mendalam tetapi juga menjadi bukti komitmen UUM dalam memartabatkan seni budaya tempatan. – Mohamed Nazreen Shahul Hamid