Pensyarah STHEM angkat Kerabu Daging Mentah Kedah ke pentas antarabangsa
Berita dan gambar Muhamad Shah Kamal Ideris
JOHOR, 24 Mei 2026: Pensyarah kanan daripada Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhamad Shah Kamal Ideris telah mengharumkan nama universiti dan STHEM apabila berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan berprestij World Chefs Championship 2026 yang berlangsung di Persada Johor pada 21 hingga 23 Mei lalu.

Kejohanan kulinari bertaraf dunia itu menghimpunkan seramai 2,389 peserta daripada lebih 40 negara termasuk Malaysia, Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Singapura, China, Peru, Kanada dan Vietnam. Sebanyak 50 kategori pertandingan dipertandingkan melibatkan bidang masakan, bakeri, pastri dan seni kulinari kreatif.
Dalam penyertaan kali ini, Muhamad Shah Kamal telah bertanding dalam kategori WCC Class 58: Kerabu dengan mempertaruhkan hidangan tradisional negeri Kedah iaitu Kerabu Daging Mentah yang merupakan antara makanan warisan terkenal di negeri tersebut.
Muhamad Shah berkata, Kerabu Daging Mentah dipercayai berasal daripada dapur istana Siam dan terkenal di beberapa daerah di Kedah seperti Pokok Sena dan Padang Terap.

Menurutnya, keunikan hidangan ini terletak pada kaedah penyediaannya kerana daging tidak dimasak menggunakan api, sebaliknya “dimasakkan” secara semula jadi melalui tindak balas campuran herba dan rempah tempatan serta jus limau nipis yang menghasilkan rasa unik serta aroma tersendiri.
Usaha beliau mempertaruhkan hidangan warisan tersebut berjaya memikat hati juri antarabangsa, sekali gus membolehkannya membawa pulang pingat emas dalam kategori yang dipertandingkan.
“Penyertaan ini bukan sekadar pertandingan semata-mata, malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan serta mengangkat makanan warisan Kedah ke peringkat antarabangsa.
“Tujuan utama saya membawa Kerabu Daging Mentah ini adalah untuk memartabatkan makanan warisan Kedah agar lebih dikenali di peringkat dunia, di samping memastikan hidangan tradisional ini tidak dilupakan, khususnya oleh golongan muda,” katanya.

Beliau turut berharap usaha memperkenalkan makanan tradisional melalui pertandingan antarabangsa dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya memelihara identiti serta warisan kulinari tempatan agar terus kekal relevan dan dihargai oleh generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Dekan STHEM, Prof. Madya Dr. Kamal Izzuwan Ramli serta pihak Universiti Utara Malaysia atas sokongan, galakan dan kepercayaan yang sentiasa diberikan sepanjang penglibatan beliau dalam bidang inovasi dan pertandingan kulinari.



