Prestasi kutipan zakat fitrah UUM tunjuk peningkatan
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 13 Mac 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menunjukkan prestasi kutipan zakat fitrah pada 2024 meningkat sebanyak RM34,394.50 berbanding tahun 2023 sebanyak RM25,410.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kutipan ini meningkat sebanyak 26.12 peratus bagi tahun ini.
Menurutnya, corak peningkatan kutipan ini bersandarkan usaha yang dilaksanakan oleh para Amil yang dilantik oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui Pusat Zakat Daerah Kubang Pasu.
Katanya, Pusat Islam UUM melalui Pejabat Zakat Daerah Kubang Pasu sentiasa bekerjasama erat bagi memastikan semua warga UUM dapat melaksanakan ibadah zakat fitrah ini dengan sempurna melalui bayaran secara atas talian dan boleh dibuat di mana sahaja kita berada.
“Beberapa amil bertauliah yang telah dilantik akan berada di beberapa lokasi di dalam kampus. Mudah-mudahan inisiatif ini akan memperkasakan prestasi kutipan zakat fitrah komuniti UUM.
“Majlis pelancaran ini juga merupakan salah satu inisiatif yang digerakkan oleh Pusat Islam UUM bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi mempermudahkan warga UUM menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya pada Majlis Pelancaran Kutipan Zakat Fitrah 1446H/2025 di Masjid Sultan Badlishah, pagi tadi.
Beliau berkata, ibadah zakat fitrah dapat membantu masyarakat atau komuniti setempat yang memerlukan. Inilah hikmah disyariatkan ibadah ini, dalam usaha merawat ekonomi umat dan negara.
Menurutnya, secara tidak langsung, ia merupakan medium penyucian harta bagi meluaskan lagi barakah yang diperoleh dari pendapatan seharian individu.
Sehubungan itu, Dr. Mohd Foad menyeru agar semua merebut pahala dan kelebihan yang pelbagai dalam bulan yang barakah ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut membayar zakat fitrah melalui Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan pegawai-pegawai kanan universiti.