Seorang profesor, seorang pemimpin dan sebuah legasi
Berita dan gambar oleh Suraya Deraman
SINTOK, 11 Mei 2026: Menjadi tarikh yang penuh makna dan emosi buat warga Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC). Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila Prof. Dr. Huda Ibrahim secara rasminya menamatkan perkhidmatan melalui persaraan wajib setelah lebih tiga dekad menabur bakti di Universiti ini.
Bukan sekadar sebuah persaraan tetapi penghujung kepada satu perjalanan panjang seorang tokoh akademik yang telah mencurahkan ilmu, kepimpinan, pengalaman dan jasa demi pembangunan Universiti serta kecemerlangan pendidikan pengkomputeran negara.

Memulakan kerjaya akademik sejak tahun 1995, Prof. Dr. Huda dikenali sebagai seorang sarjana dan pemimpin universiti yang berwibawa. Berbekalkan latar akademik antarabangsa daripada Kellogg School of Management, Universiti Kebangsaan Malaysia, Creighton University serta University of Arkansas at Little Rock, beliau telah membawa pendekatan global dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan pengurusan universiti.
Kewibawaan beliau terserlah apabila diberi amanah menerajui SOC sebagai Dekan dari tahun 2011 hingga 2022, selain memegang jawatan Penolong Naib Canselor UUMCAS dari tahun 2017 hingga 2022. Dalam tempoh tersebut, beliau memainkan peranan besar dalam memperkukuh agenda akademik, memperluas jaringan antarabangsa serta memacu transformasi pendidikan digital universiti.

Kepakaran beliau turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa melalui pelantikan sebagai Profesor Pelawat di Karabuk University dan Albukhary International University selain menjadi panel penilai, pemeriksa luar dan pakar rujuk akademik bagi pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Hari terakhir perkhidmatan beliau diraikan bersama Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali selaku Dekan SOC, penjawat utama, staf akademik dan pentadbiran sebagai tanda penghargaan terhadap seorang insan yang telah banyak membina kecemerlangan serta meninggalkan legasi besar kepada SOC dan UUM.

Dalam ucapan terakhir beliau, Prof. Dr. Huda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UUM dan SOC yang telah banyak memberikan peluang, kepercayaan dan sokongan sepanjang perjalanan kerjaya beliau di Universiti ini.
Beliau turut menitipkan pesanan penuh makna kepada generasi muda akademik agar sentiasa berani menerima cabaran dan amanah yang diberikan oleh Dekan atau pihak pengurusan universiti. Menurut beliau, peluang bukan datang berkali-kali dan setiap tugasan yang diberikan sebenarnya adalah ruang untuk membuktikan kemampuan, membina pengalaman serta menyerlahkan potensi diri.

Pesanan itu hadir daripada pengalaman panjang seorang tokoh yang telah melalui pelbagai cabaran, memimpin dalam tekanan namun tetap teguh membawa Universiti ke tahap yang lebih tinggi.
Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Osman dalam ucapannya turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Prof. Dr. Huda atas segala jasa dan pengorbanan beliau kepada SOC dan UUM. Beliau menyifatkan Prof. Dr. Huda sebagai seorang figura yang mempunyai semangat luar biasa, cekal dan kuat menghadapi cabaran sehingga semangat beliau mengatasi semangat kaum lelaki.
Kata-kata tersebut bukan sekadar pujian, tetapi gambaran sebenar tentang ketabahan, disiplin dan kekuatan jiwa seorang wanita hebat yang sentiasa berdiri teguh dalam memimpin, membimbing dan menyumbang tanpa mengenal lelah.
Buat Prof. Dr. Huda Ibrahim
Tanggal 11 Mei menjadi saksi,
Berakhir satu perjalanan penuh dedikasi,
Bukan sekadar bersara daripada tugas,
Tetapi meninggalkan legasi yang terus terbias.
Dalam tenang ada ketegasan,
Dalam kepimpinan hadir kebijaksanaan,
Mendidik dengan ilmu dan kesabaran,
Memimpin dengan amanah dan ketulusan.
Hari ini langkahmu mungkin berhenti di sini,
Namun jasa dan baktimu akan terus mekar di hati,
Kerana seorang pendidik sejati tidak pernah pergi,
Ilmunya hidup, budinya kekal abadi.
Terima kasih Prof. Dr. Huda atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan di UUM.
Selamat Bersara Wajib.
Segala jasa akan sentiasa dikenang, segala ilmu akan terus menjadi warisan.


