SOSCoE bentang aktiviti 2024 dan cadangan projek 2025 kepada PERKESO
Berita dan gambar Mohamad Khairul Hafiz Saidin
KUALA LUMPUR, 4 Mac 2025: Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SOSCoE Bil.1/2025 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga 1, Menara PERKESO, Jalan Ampang, baru-baru ini.
Mesyuarat ini dijalankan untuk membentang aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh Social Security Management Centre of Excellence (SOSCoE) pada tahun 2024 serta cadangan-cadangan projek bagi tahun 2025.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Pertubungan Keselamatan Sosial (PERKESO), Azirruan Ariffin dan turut hadir Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan; Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad dan Pengarah SOSCoE, Prof. Dr. Fadzli Shah Abd Aziz.
Pengarah SOSCoE, Prof. Dr. Fadzli Shah berkata, SOSCoE telah memajukan laporan kewangan serta laporan aktiviti bagi tahun 2024 dan pihak PERKESO amat berpuas hati dengan pencapaian SOSCoE khususnya bagi tiga program yang berimpak tinggi iaitu Social Security Management International Conference (SSMiC 24) bertempat di Riverside Majestic Hotel, Sarawak yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Dato’ Sri Fadillah Yusof.
Program Green Sustainability bersama masyarakat orang asli di Pantai Cunang, Selangor, Program Resiliensi dan Optimasi Generasi Esok bagi Waris Penerima Pencen Illat Bantuan PERKESO (PROGRESS) yang dilaksanakan di Dewan Seminar Pusat Islam pada 24 hingga 26 Mei 2024. Program ini merupakan kerjasama SOSCoE dan Institute Of Excellent Teachers And Leaders In Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE).
Selain itu, pihak PERKESO telah meluluskan dana peruntukan sebanyak RM490,000 bagi tujuan pembangunan penawaran program akademik Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dengan Pengurusan Keselamatan Sosial (BHRM with SSM) serta Sarjana Sains Pengurusan Keselamatan Sosial (MsC. SSM) di UUMKL serta pembangunan modul Pengurusan Keselamatan Sosial, Jurnal Pengurusan Keselamatan Sosial dan aktiviti bersama komuniti.