Sports

SINTRAX perkukuh imej UUM sebagai hab penganjuran acara sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 23 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Sukan dengan kerjasama Northern Runners sekali lagi berjaya menganjurkan program Sintok Trail Experience (SINTRAX) 2026 yang telah berlangsung daripada 20 hingga 21 Jun lalu dengan penyertaan seramai 1,300 peserta dari seluruh Malaysia serta beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina, Myanmar, Brunei, Kemboja dan Maghribi.

Acara larian denai berprestij yang menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM14,600 ini mempertandingkan kategori 60 kilometer (km), 30km dan 15km melalui laluan mencabar yang merentasi kawasan Hutan Simpan UUM, Bukit Perangin dan Bukit Kachi.

Pelepasan kategori 60km pada jam 4.00 pagi telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan UUM, Dr. Nasiruddin Haron, diikuti pelepasan kategori 30km oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri.

Bagi kategori 15km yang mencatatkan penyertaan tertinggi dengan jumlah penyertaan seramai 592 peserta telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Lebih mengujakan, beliau turut turun ke trek bagi menyaksikan sendiri peserta berlari melalui denai-denai di sekitar Hutan Simpan UUM serta beramah mesra dengan peserta dan petugas yang terlibat.

Pengarah Pusat Sukan Dr. Nasiruddin berkata, penganjuran SINTRAX 2026 bukan sahaja bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif, malah berperanan memperkenalkan keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar kampus UUM kepada peserta dari dalam dan luar negara.

“Penyertaan yang memberangsangkan daripada pelbagai negara membuktikan bahawa SINTRAX semakin mendapat pengiktirafan sebagai salah satu acara larian denai yang berprestij di rantau ini.

“Kejayaan ini turut memperkukuhkan imej UUM sebagai hab penganjuran acara sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa,” katanya.

Bagi kategori 60km Duo, pasangan Pharawus Achuan dan Muhamad Sheqal Mahazan muncul juara dengan catatan masa 11 jam 26 minit 29 saat, manakala Kategori 60km Men Open dimenangi oleh Anjeluis Palja (09:14:18) dan kategori 60km Men Senior dimenangi oleh Mohammadalee Lateh dari Thailand dengan catatan masa 09:59:13.

Kategori 60km Women Open pula, Chai Yee Ling muncul juara dengan masa 13:23:24, sementara kategori 60km Women Senior dimenangi oleh Benjamat Sophon dari Thailand dengan catatan masa 12:17:09.

Bagi kategori 30km Men Open, Zulhilmi Muhammad muncul juara dengan masa 04:17:38, manakala kategori 30km Men Senior dimenangi oleh Cheng Kok Boon dengan catatan masa 05:03:44.

Dalam kategori 30km Women Open, Siti Hajar Nayan menjuarai acara tersebut dengan masa 06:39:38, sementara kategori 30km Women Senior dimenangi oleh Syirin Zabidi dengan catatan masa 07:27:23.

Dalam kategori 15km Men Open, Muhammad Norhafizi Mohd Kasim muncul juara dengan masa 02:09:23, manakala kategori 15km Men Senior dimenangi oleh Mahayuddin Mangshor dengan catatan masa 02:47:03.

Bagi kategori 15km Women Open, Siti Nur Shahira Zaferi menjuarai acara tersebut dengan masa 03:46:05, sementara kategori 15km Women Senior dimenangi oleh Maryani Ismail dengan catatan masa 03:58:34.

Menariknya, juara kategori 60km Men Senior dari Thailand, Mohammadalee Lateh telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi apabila menyumbangkan sebanyak RM200 kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) daripada wang kemenangan yang diterimanya.

Sumbangan tersebut merupakan tanda penghargaan beliau terhadap penganjuran SINTRAX 2026 serta layanan dan sokongan yang diberikan oleh pihak universiti sepanjang acara berlangsung.

Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Dr. Nasiruddin dalam majlis penyampaian hadiah yang berlangsung sejurus selesai tamat acara.

Penganjuran SINTRAX 2026 ini diketuai oleh Dr. Nasiruddin dan Dr. Mohammad Shahril Salim dari Northern Runners sebagai Pengarah Acara, manakala, Fazli Jalil daripada Northern Runners sebagai Race Director dan aspek teknikal laluan perlumbaan diselaraskan oleh Trail Master, Mohd Tarmizi Musa dari UUM CAS.

Kejayaan penganjuran SINTRAX 2026 membuktikan komitmen berterusan UUM dalam memperkasakan pembangunan sukan rekreasi dan pelancongan sukan, di samping mempromosikan keunikan alam semula jadi yang terdapat di sekitar kampus universiti kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. – Amirudin Hashim

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button