Sports

UUM cadang anjur Kejohanan Golf Universiti Peringkat ASEAN

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 20 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan kedudukannya dalam arena sukan serantau dengan merancang penganjuran Kejohanan Golf Universiti Peringkat ASEAN yang bakal menghimpunkan atlet golf institusi pengajian tinggi dari seluruh Asia Tenggara.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kejohanan anjuran Akademi Golf Nasional (AGN) UUM tersebut dijadualkan berlangsung di Kelab Golf Sultan Sallehuddin, UUM pada pertengahan tahun hadapan.

Menurutnya, penganjuran kejohanan ini amat signifikan bagi mengisi ruang kekosongan berikutan kejohanan FISU World University Championship Golf yang hanya diadakan dua tahun sekali.

“UUM akan menghantar dua pasukan seramai lapan atlet untuk menyertai Bangkok 2026 FISU World University Championship Golf di Windsor Park & Golf Club, Thailand pada 11 hingga 14 November ini.

“Seramai 12 atlet golf AGN kini berada dalam kelompok 5,000 terbaik World Amateur Golf Ranking (WAGR), sekali gus berada dalam kalangan 55 pemain terbaik di peringkat kebangsaan,” katanya sempena lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim ke AGN, pagi tadi.

Lawatan KSU ke AGN tersebut diadakan bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) di EDC UUM yang turut dihadiri naib-naib canselor universiti awam, wakil Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), UCAS serta pegawai kanan KPT.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff; Pengarah AGN, Prof. Madya Dr. Zaheruddin Othman; Yang Menjalankan Fungsi Pendaftar , Mohd Zulkifli Mohd Noor; Pengarah Canselori, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi serta Eksekutif Sukan KPT, Norizan Md. Isa.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Martadha turut memohon peruntukan tambahan daripada KPT bagi memantapkan pembangunan atlet golf ke peringkat antarabangsa, merangkumi pembinaan semula pusat latihan intensif serta penyediaan peralatan canggih berasaskan teknologi terbaharu seperti Kecerdasan Buatan (AI).

“Kita yakin Sintok mampu mengumpulkan puluhan atlet golf kerana pemain-pemain muda terbaik kini cenderung memilih UUM sebagai tempat latihan. Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti permainan, malah membolehkan mereka mempunyai diploma atau ijazah apabila tamat latihan kelak.

“Kos pembangunan seorang pemain golf bertaraf profesional adalah agak tinggi, antaranya untuk bayaran jurulatih pelbagai bidang kepakaran termasuk kecergasan dan keupayaan emosi, yuran penyertaan, kos perjalanan serta peralatan golf,” katanya.

Mengikut standard antarabangsa, kos pembangunan seorang atlet golf di negara lain seperti Amerika Syarikat memerlukan sehingga kira-kira RM1 juta seorang setahun, manakala di Eropah sekitar RM700,000, Thailand RM300,000 dan Malaysia RM250,000.

Untuk rekod, atlet golf lelaki AGN yang berada di kedudukan keempat peringkat kebangsaan ialah Hariz Hezri, Zia Iqmal Abd Rashid, Farez Azihan dan Mohamad Danish Mohamad Rizal, manakala bagi kategori wanita, UUM dibanggakan oleh Charlayne Chong Shin Ling yang berada di kedudukan ke-4 kebangsaan, Nur Maisarah Saad (kedudukan ke-26) serta Nurul Syahirah Nasir (kedudukan ke-40). – Kori Ariff

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button