Malam Nostalgia PSB mengimbas kenangan
SINTOK – Program Makan Malam Nostalgia Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) julung kali diadakan bersempena sambutan Hari Pengasasan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-40 serta Sambutan Tahun Melawat UUM 2024, membawa kenangan manis.
Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib, menyifatkan majlis tersebut bukan sekadar pertemuan untuk mengimbas kenangan lama, tetapi juga mencerminkan semangat kekitaan dan rasa tanggungjawab untuk terus memperkasa perpustakaan demi masa depan universiti dan para pelajarnya.
“Tahun 1984 UUM telah ditubuhkan. Selama empat dekad ini UUM dan PSB telah menempuhi pelbagai cabaran dan kejayaan.
“Pelbagai cerita suka dan duka di PSB. Kita tidak dapat menyangkal bahawa PSB telah berkembang dari segi infrastruktur, perkhidmatan, dan sumbangannya kepada UUM. Semua ini tidak mungkin dicapai tanpa dedikasi dan komitmen seluruh warga perpustakaan, baik yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, yang hadir bersama kita pada malam ini.
“Oleh itu kepada para pesara PSB, jasa dan pengorbanan tuan puan dalam membina asas dan memajukan PSB tidak akan dilupakan. Malah, majlis ini adalah satu bentuk penghargaan daripada kami kepada tuan puan,” katanya di EDC-UUM, UUM, baru-baru ini.
Beliau turut menyatakan harapannya agar majlis ini dapat mengeratkan lagi hubungan silatulrahim antara kakitangan yang masih berkhidmat dan yang telah bersara.
“Kita ibarat semua sebagai satu keluarga besar yang sentiasa bersama dalam mengharungi masa depan yang lebih mencabar bagi mencapai kecemerlangan yang kita impikan,” katanya.
Sementara itu, wakil pesara yang pernah bertugas di PSB, Bistomi Ismail berkata, program seperti ini perlu dicontohi oleh jabatan lain dan wajar diteruskan di masa akan datang.
“Saya merasakan ini adalah kenangan terindah kerana saya berpeluang berjumpa kembali sahabat lama yang terpisah.
“Tahniah kepada Prof. Dr Che Azlan serta semua urusetia kerana berjaya menganjurkan majlis ini buat pertama kalinya dalam sejarah sejak PSB ditubuhkan. Inilah semangat yang perlu terus dipupuk oleh semua,” ujarnya.
Pelbagai program menarik turut diadakan sempena sambutan Hari Pengasasan UUM yang ke-40 pada 20 hingga 22
September lalu seperti Pameran Garis Masa PSB secara fizikal dan atas talian, program Scavengers Hunt, Naratif Mantan Ketua Pustakawan, Forum Mengimbau Kenangan Menggamit Harapan, Pertandingan TikTok Pengasasan dan penerbitan video Dokumentari PSB 40 Tahun.