Hari Muzium pupuk semangat cinta sejarah dan warisan
SINTOK, 7 November 2024: Hari Muzium UUM 2024 memupuk semangat cinta dan menggalakkan penghargaan terhadap sejarah, budaya, dan warisan pengurusan.
Ketua Perpustakaan, Prof. Dr. Che Azlan Taib berkata, Hari Muzium UUM 2024 terus menjadi platform penting untuk mempromosikan program masa hadapan yang berkaitan dengan sejarah dan warisan.
Acara ini sekali gus menyumbang kepada usaha UUM untuk memperkukuhkan nilai budaya dan sejarah sebagai elemen penting dalam pendidikan tinggi.
“Peranan muzium sebagai platform pendidikan penting dalam memulihara artifak yang berkaitan dengan bidang pengurusan dan berharap agar ia terus dihargai oleh seluruh warga kampus.
“Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penghargaan terhadap sejarah, budaya, dan warisan pengurusan dalam kalangan warga kampus serta masyarakat setempat,” ujarnya.
Jelasnya, program ini merupakan inisiatif Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) untuk menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-40 UUM melalui platform yang mempromosikan nilai sejarah.
“Program ini merupakan salah satu daripada pelbagai program yang dirancang oleh PSB untuk menyokong sambutan 40 tahun Universiti Utara Malaysia dan semoga program ini diteruskan pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar.
“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada semua tetapi juga menjadi amal jariah berpanjangan,” ucapnya ketika merasmikan Hari Muzium 2024 di Muzium Pengurusan UUM, semalam.
Program anjuran Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung dari 4 hingga 6 November sarat dengan pelbagai aktiviti menarik yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mendidik.
Antaranya sesi mewarna oleh kanak-kanak Tadika UUM, permainan tradisional seperti timbang batu, congkak, sepak bulu ayam, Free Market, kuiz dalam talian, senamrobik, tayangan filem dan Explorace yang disertai oleh warga UUM.
Sementara itu, Pengarah Program, Norhardi Saad berkata, acara tiga hari itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kampus.
“Alhamdulillah, sambutan sangat meriah. Terima kasih kepada semua warga Pengurusan dan staf PSB atas komitmen tanpa dedikasi mereka, program ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Aktiviti yang diadakan ini memberi pengalaman berharga kepada kita semua dan dapat menjadi ruang untuk belajar, berbincang, dan berkongsi pengetahuan,” katanya.
Hari Muzium UUM 2024 bukan sahaja merapatkan hubungan antara pelajar dan pihak pengurusan, tetapi juga membuka peluang kepada komuniti setempat untuk turut serta memeriahkan progam. – Nor Maisarah Mohamed Ali (Pelatih dari UiTM Shah Alam)