Universiti sediakan bakat terbaik majukan negara
SINTOK, 13 November 2024 – Universiti memainkan peranan penting dalam menyediakan bakat terbaik negara.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, peranan universiti telah diiktiraf dalam membentuk, membina dan mendidik bakat-bakat untuk masa hadapan sesebuah negara.
“Bakat-bakat ini sangat diperlukan dalam usaha memajukan lagi negara kerana mereka telah menguasai ilmu dan kemahiran tinggi di universiti,” ucapnya dalam Majlis Konvokesyen ke-37 Universiti Utara Malaysia, Sesi Kelima di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.
Ujarnya, pihak universiti telah menyediakan bakat-bakat terbaik atau modal insan yang telah dinilai, disaring dan dikelaskan untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu memasuki dunia industri, menjalani kehidupan dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“Apabila universiti melahirkan bakat-bakat terbaik, industri akan mempunyai barisan kakitangan yang berkemahiran tinggi dan graduan cemerlang ini akan membawa idea baharu kepada organisasi.
“Selain itu, ia dapat mengurangkan kos untuk latihan kepada pekerja apabila graduan ini telah dilengkapi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dengan keperluan perniagaan.
“Akhir sekali, organisasi akan mempunyai barisan pemimpin pelapis dan pengurusan yang mampu menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi,” katanya.
Selain itu, beliau menyeru graduan semua supaya sentiasa terbuka untuk mendalami ilmu pengetahuan baharu.
“Jangan jemu untuk menguasai kemahiran baharu memandangkan dunia pada hari ini bergantung kepada teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), teknologi digital dan sebagainya. Jadikanlah usaha menuntut ilmu satu proses sepanjang hayat,” ujarnya.
Beliau menyampaikan ijazah kepada graduan, Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans , Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaantani, Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) , Sarjana Muda Perakaunan , Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan).