Suksis Integration Challenge (SIC) 2024 tingkatkan semangat berpasukan dan ketahanan pelatih
SINTOK, 17 November 2024: Seramai 157 pelatih dari Platon 20, 21 dan 22 telah menyertai program Suksis Integration Challenge (SIC) Kor Suksis Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 pada 15 dan 16 November 2024.
Program ini merupakan program tahunan Kor Suksis yang bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama serta menguji daya ketahanan mental dan fizikal para pelatih.
Komandan Kor SUKSIS UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, program ini merupakan langkah pertama bagi pelatih baharu sebelum memulakan latihan selama tiga tahun di Kor Suksis.
Beliau menjelaskan bahawa selain membina hubungan kukuh antara Platon 20, 21 dan 22, program ini juga memberi fokus kepada peningkatan daya tahan mental dan kemahiran menyelesaikan masalah.
“Program ini menekankan aspek mental di mana pelatih dikehendaki membuat keputusan pantas, menunjukkan kemahiran, dan mengekalkan ketenangan dalam situasi mencabar,” katanya.
Beliau berkata, program ini turut mengingatkan bahawa kumpulan terbaik bukanlah diukur dari kemahiran individu tetapi melalui semangat berpasukan yang tinggi dan saling melengkapi antara satu dengan yang lain.
Majlis penutupan program disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kedah, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
“Kita kena bersama-sama tolak budaya kebencian, pilih kebaikan, dan maju untuk masa depan,” katanya semasa merasmikan majlis tersebut sambil menekankan peranan penting Kor Suksis dalam mendidik pelatih memahami tanggungjawab sebagai pelatih Kor Suksis.
Aktiviti utama program ini termasuk acara Expedition Challenge di mana pelatih diuji dengan cabaran yang menggalakkan kerjasama dan kecekapan.
Aktiviti-aktiviti ini dirangka untuk membina keyakinan serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelatih.
Nik Ezanee turut memanfaatkan peluang untuk memperkenalkan para pelatih kepada tugasan-tugasan polis, termasuk bagaimana memahami persepsi masyarakat terhadap polis dan cara membina hubungan erat dengan komuniti.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Aktiviti) Pusat Kokurikulum UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel Anuar dan Timbalan Komandan Kor SUKSIS UUM, Ts. Syamsyul Anuar Che Mey @ Ismail. – Nor Maisarah Mohamed Ali (Pelatih dari UiTM Shah Alam)