General

Izuan lakar kerjaya di Kementerian Pertahanan, UUM berjaya gilap graduan holistik

SINTOK,18 November 2024: Menggalas jawatan sebagai pegawai Menteri Pertahanan di Kementerian Pertahanan Malaysia memberi dimensi baharu dan cabaran.

Namun Muhammad Izuan Faiz optimis dengan ilmu dan pengalaman yang ditimba semasa menjadi Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2022/2023, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memudahkan perjalanannya menuju destinasi impian.

“Alhamdulillah, saya sudahpun bekerja kini bertugas menguruskan urusan yang melibatkan inisiatif Kementerian Pertahanan seperti BAKAT dan Protégé selain terlibat secara langsung dalam gerak kerja Menteri Pertahanan. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Sudah pasti, satu kerja yang mencabar tetapi saya yakin Insya-Allah dengan berkat ilmu dan didikan yang ditimba akan membantu saya di alam pekerjaan,” ujar graduan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa.

Ternyata UUM menjadi medan untuk mempersiapkan diri mengasah kepimpinan dan semangat juang.

“Semasa di Universiti, pendedahan terhadap aspek seperti pemikiran kritikal, membuat keputusan, kerja berpasukan dan komunikasi banyak membantu saya menyesuaikan diri. Ia diperolehi semasa bergelar MPP dan semasa dalam kelas.

“Memegang amanah sebagai ketua pelajar selepas dipilih sebagai Yang Di-Pertua MPP Banyak perkara yang saya pelajari melalui pengalaman yang ditimba.

“UUM mengajar saya untuk berdikari. Dalam setiap aspek, di sini adalah mengenai bagaimana kita membawa diri ke depan dan menjadi lebih bertanggungjawab,” kongsinya disamping ayah tercinta sempena Majlis Konvokesyen Ke-37 Universiti Utara Malaysia (UUM) Dewan Mu’adzam Shah.

Beliau menyifatkan ayah  sebagai sumber inspirasi dan penguat semangat untuk sentiasa lakukan yang terbaik dalam apa juga bidang yang dilakukan.

“Dibesarkan tanpa seorang ibu sejak kecil, selepas pemergian arwah ibu, saya melihat kekuatan dalam diri ayah   yang membesarkan kami adik beradik dengan penuh sabar dan kasih sayang jadi saya ingin membawa semangat ini agar terus melakukan kebaikan.

“Ayah selalu pesan, jadilah seorang insan yang manfaat dengan melakukan kebaikan kerana sebaik-baik manusia adalah mereka yang bermanfaat kepada orang lain. jadilah tangan yang sentiasa terbuka membantu insan lain, berbudi bahasa, murah dengan senyuman,” ujarnya yang menyimpan impian untuk bergelar Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) agar terus memberikan manfaat kepada agama, negara dan bangsa.

Jelasnya, anak muda perlu lebih bekerja keras dalam mendepani arus masa depan yang kian mencabar selain memiliki kekuatan daripada segi pemikiran dan juga sifat saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam memastikan generasi muda berkualiti.

Selain itu, dunia sukarelawan amat dekat dengan dirinya tidak hairanlah dia banyak melibatkan diri dalam gerakan badan bukan kerjaaan (NGO) dan khidmat masyarakat.

“Saya percaya, kita mampu menghulurkan bantuan kepada yang lain dalam apa jua bentuk sumbangan termasuklah masa dan tenaga. Masih ramai di luar sana yang memerlukan bantuan, jadi kita perlu ringankan tangan untuk saling membantu,” kongsinya.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button