UUM terima sumbangan sebanyak RM775,000
KUALA LUMPUR, 5 Disember 2024 – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima sumbangan sebanyak RM775,000 daripada badan korporat.
Sumbangan ini termasuk RM400,000 daripada Lembaga Tabung Haji, RM200,000 daripada Etiqa General Takaful Berhad, RM15,000 daripada RHB Islamic Bank, RM130,000 daripada PLUS Malaysia Berhad, dan RM30,000 daripada Tetuan Anissah dan Marina.
Selain itu, Alumni Ansara UUM turut mewakafkan komputer riba bagi kegunaan pelajar asasi atau pelajar tahun pertama yang layak terutamanya daripada golongan B40.
Majlis penyerahan ini diadakan sempena UUMKL Open Day 2024 In Conjunction With UUM’s 40th Anniversary, bertempat di Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis ini bertujuan untuk meraikan dan menghargai sokongan badan korporat kepada UUM terhadap pembangunan pendidikan serta kebajikan pelajar di UUM.
Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan disaksikan oleh Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof, serta Provos UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan.
Pada majlis sama, Pusat Zakat dan Wakaf UUM membuka reruai khas untuk penjanaan dana zakat dan wakaf. Aktiviti ini merupakan usaha kolaborasi bersama Pusat Pungutan Zakat – MAIWP dan Ieza Yusof Consultancy Sdn Bhd.
Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan zakat dan wakaf sebagai instrumen pembangunan pendidikan tinggi dan membantu mencapai kecemerlangan akademik.
Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Pusat Pungutan Zakat-MAIWP dan Ieza Yusof Consultancy Sdn Bhd turut berkolaborasi untuk menghasilkan sebuah podcast bertajuk Pemerkasaan Zakat dan Wakaf.
Podcast ini menampilkan barisan panel, Prof. Dr. Rosylin, Pengurus Kanan PPZ-MAIWP, Ustaz Mohamad Shafiq Abdullah, Mentor Pengurusan Kewangan dan Hartanah, Norizza Muhamad Yusof.
Perbincangan podcast ini bertujuan untuk memberi pencerahan mengenai peranan zakat dan wakaf dalam mengukuhkan ekonomi ummah serta menperkasakan inisiatif kebajikan untuk manfaat masyarakat secara menyeluruh.