Pelajar SOL timba pengalaman di Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu
Berita dan gambar Shaidah Shaari
KUBANG PASU, 12 Januari 2025: Seramai 39 pelajar tahun tiga Program Sarjana Muda Undang-undang (dengan Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar yang sedang mengikuti Kursus GLUPK3013 Undang-undang Tanah 1, bagi memperkukuh pemahaman mereka tentang proses kerja dan pentadbiran tanah di Malaysia.
Dalam program ini, pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan kecil untuk meninjau bahagian-bahagian tertentu di Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu. Setiap kumpulan dibimbing oleh pegawai dari bahagian berkaitan yang menerangkan proses kerja seperti pendaftaran hak milik, pengurusan pewartaan tanah, dan prosedur menangani pertikaian tanah. Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami secara langsung aplikasi undang-undang tanah dalam konteks pentadbiran.
Program dimulakan dengan taklimat oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah), Dr. Mohd Rezal Rasli.
Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan penting pejabat tanah dalam pembangunan negara serta cabaran yang dihadapi dalam menguruskan isu-isu berkaitan tanah.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim turut menggalakkan pelajar untuk menjadikan pengalaman ini sebagai asas memahami hubungan antara teori yang dipelajari di universiti dengan pelaksanaannya dalam sektor pentadbiran awam.
Hadir sama dalam program ini adalah pegawai-pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu serta pensyarah dari Pusat Pengajian Undang-undang.
Lawatan ini dimulakan dengan sesi bergambar kenangan dan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu atas kerjasama mereka dalam menjayakan program ini.
Lawatan ini diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada pelajar dalam menguasai aspek praktikal undang-undang tanah, seterusnya mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dalam kerjaya profesional kelak.