Travel

Lawatan Indonesia erat hubungan sedia ada

JAKARTA, 16 Januari 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan lawatan kerjasama akademik dan antarabangsa dengan rakan strategik daripada universiti dan  institusi pendidikan tinggi serta persatuan akademik di Indonesia.

Rombongan yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani memulakan lawatan produktif ke negara jiran itu untuk meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin antara dua negara.

Lawatan ini dianggap penting sebagai satu usaha memupuk perkongsian akademik di samping mengeratkan hubungan dengan rakan kongsi sedia ada.

Perbincangan yang sangat produktif dilakukan dengan Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag), Asosiasi Ilmu Hubungan Internasional Indonesia (AIHII), Asosiasi Perguruan Tinggi Swasta Indonesia (APTISI), dan Sekolah Islam Al-Wildan.

Lawatan dimula dengan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag), Prof Dr Abu Rokhmad dan Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Phil Sahiron yang berbincang mengenai kemasukan pelajar baru dibawah tajaan kementerian itu.

Ini kerana UUM adalah universiti awam pertama di Malaysia yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan KEMENAG, yang membawa kepada kemasukan 42 pelajar ke program sarjana di UUM dengan biasiswa penuh pada 2024.

Pertemuan itu juga membolehkan UUM membentangkan prestasi pelajar tajaan Kemenag dan membincangkan dengan lebih lanjut kesediaan UUM menerima pelajar kumpulan kedua.

Dalam pada itu, rombongan UUM juga mengadakan pertemuan dengan ahli AIHII dan APTISI bagi menyerahkan Surat Hasrat (LOI) bagi mengesahkan komitmen untuk bekerjasama dalam pembangunan staf akademik untuk program PhD di UUM.

Kerjasama ini amat penting kerana AIHII mempunyai 73 ahli program pengajian dan APTISI mewakili lebih 2,000 universiti, manakala Sekolah Islam Al-Wildan, mempunyai 22 cawangan dan lebih 700 guru.

Dr Azizuddin berkata, mereka adalah rakan strategik yang amat penting dan mempunyai potensi untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD di universiti ini.

“UUM komited untuk menyokong pembangunan perancangan mereka untuk menambah baik bidang akademik di universiti mereka, malahan kita menggalakkan mereka melanjutkan pendidikan tinggi di UUM,” katanya.

Selain itu, katanya, lawatan ini menekankan matlamat bersama untuk memupuk inovasi dan kecemerlangan akademik di samping perkongsian pintar dalam satu pasukan dan semangat Asean.

Sementara itu, Ketua Umum AIHII, Dr Agus Haryanto berkata, mereka sangat teruja untuk bekerjasama dengan UUM, percaya perkongsian ini akan membawa manfaat bersama kepada komuniti akademik dua negara.

Katanya, lawatan ini bukan sahaja mengukuhkan dedikasi UUM kepada perkongsian serantau tetapi juga membuka jalan untuk kerjasama masa depan yang menjanjikan untuk meningkatkan pengalaman pendidikan untuk pelajar dan universiti.

Turut hadir dalam rombongan ini ialah Dekan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business, Prof Dr Hassan Abu Bakar, Pengarah Pusat Hal Ehwal Kerjasama Antarabangsa, Prof Madya Dr Arpah Abu Bakar dan pegawai kanan universiti.- Prof Madya Dr Arpah Abu Bakar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button