Majlis Anugerah Dekan A232 hargai pelajar cemerlang SQS
SINTOK, 19 Januari 2025: Majlis Anugerah Dekan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) diadakan bagi menghargai kecemerlangan pelajar yang berjaya mencapai pencapaian tertinggi dalam pengajian.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim sekali gus menyempurnakan penyampaian anugerah kepada pelajar yang berjaya memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.67 dan ke atas.
Ujarnya, seramai 191 pelajar berjaya meraih Anugerah Dekan yang menandakan pencapaian luar biasa dalam bidang sains kuantitatif sepanjang semester A232.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan para pelajar dan berharap pencapaian ini menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus cemerlang dalam bidang akademik.
“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf usaha keras mereka, tetapi juga memberi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk mengikuti jejak langkah mereka,” ucapnya di Dewan Seminar SQS.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Pengajian Sains Kuantitatif atas usaha mereka dalam membangunkan pelajar yang berpotensi tinggi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah timbalan dekan, pengerusi program, pensyarah dan staf pentadbiran.
Majlis ini berakhir dengan sesi bergambar dan diharapkan dapat mencipta kenangan manis kepada semua penerima anugerah pada kali ini.