Education

Latihan Eksekutif Halal IHM perkasa kompetensi akademik UMK 

Gambar Institut Pengurusan Halal (IHM)

PENGKALAN CHEPA, 20 Januari 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijemput oleh Institut Keusahawanan UMK (UMKEI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menganjurkan Latihan Eksekutif Halal kepada pensyarah UMK.

Program ini berlangsung selama lapan hari bermula 6 Januari 2025 dan melibatkan 23 pensyarah daripada pelbagai fakulti, termasuk Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, serta Fakulti Industri Asas Tani.

Pada hari pertama, program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah UMKEI, Dr. Mohd Ikhwan bin Aziz yang menzahirkan komitmen UMK dalam mendukung pembangunan kompetensi halal dalam kalangan tenaga akademik bagi memperkukuhkan ekosistem halal negara khususnya di negeri Kelantan. 

Program ini menawarkan lima modul utama iaitu Modul 1: Manual & Rekod Halal, Modul 2: Jawatankuasa Halal Dalaman (IHC), Modul 3: Sistem Jaminan Halal, Modul 4: Proses Pensijilan Halal, dan Modul 5: Audit Dalaman Halal.

Kelima-lima modul dapat memberikan pendedahan komprehensif kepada peserta, termasuk aspek pengurusan dokumen, pematuhan pensijilan, serta pelaksanaan audit dalaman halal. Pensyarah-pensyarah yang terlibat menunjukkan semangat yang tinggi dan sangat aktif dalam perbincangan sepanjang latihan, menjadikan sesi lebih interaktif. 

Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib menyatakan harapannya agar latihan ini dapat membantu pihak UMK memainkan peranan yang lebih besar dalam mengukuhkan ekosistem halal di Kelantan.

Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama yang berterusan antara IHM dan UMKEI untuk memperluaskan lagi usaha pengembangan ilmu dan pembangunan halal.

IHM mengucapkan terima kasih atas sokongan UMKEI dan berharap latihan ini memberikan impak positif kepada peserta dan institusi. 

Program ini bukan sahaja memperkasakan pensyarah UMK dengan ilmu pengurusan halal tetapi juga mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan industri halal tempatan dan kebangsaan. Latihan ini menjadi platform strategik untuk membina jaringan dan bertukar idea, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem halal yang mampan. – Nurul Syahidah Muhamad Puzi 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button