Subjek Undang-undang UUM dalam kelompok 200 terbaik dunia
CI Norazlina Ahmad
SINTOK, 22 Januari 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya subjek undang-undang berjaya disenaraikan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subjects 2025 dengan kedudukan 176-200.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pencapaian ini menandakan kemajuan signifikan UUM dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi terkemuka, khususnya dalam bidang undang-undang di persada antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih seluruh warga universiti dalam aspek penyelidikan yang berkualiti tinggi, reputasi antarabangsa yang semakin kukuh, serta sokongan terhadap kecemerlangan akademik.
“Pusat Pengajian Undang-undang UUM telah menunjukkan peningkatan ketara dalam penghasilan penyelidikan berimpak tinggi, selain berjaya membentuk rangkaian kerjasama strategik dengan institusi dan badan profesional antarabangsa.
“Graduan undang-undang UUM juga diiktiraf di peringkat global dan syarat kemasukan agak ketat kerana permintaan terlalu tinggi,” katanya.
Edisi THE World University Rankings by Subjects 2025 kali ini menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 5 tunjang utama yang membentuk 18 petunjuk prestasi dengan komponen penilaian adalah pengajaran, persekitaran penyelidikan, kualiti penyelidikan, imej antarabangsa dan industri.
Penarafan berkenaan juga meletakkan UUM antara universiti terbaik dunia yang dinilai bagi subjek tersebut, seterusnya disenaraikan dalam kalangan 389 universiti yang terpilih.
Antara subjek lain yang tersenarai dalam THEWUR by Subject 2025 termasuklah Business and Economics (201-250), Education Studies (201–250), Social Sciences (301–400), Physical Sciences (401–500), dan Computer Science (601-800). – Nur Liyana Noor Ismadee