Education

CUIC, CEDI teroka peluang baru bersama CBAL Solutions Sdn Bhd

KUALA LUMPUR, 26 Januari 2025: CBAL Solutions Sdn Bhd adalah sebuah syarikat penyedia perkhidmatan teknologi dan penyelesaian inovatif yang memfokuskan kepada pembangunan perisian simulasi, latihan interaktif, dan perkhidmatan berkaitan pembangunan keusahawanan.

Syarikat ini dikenali dengan komitmennya dalam menyokong institusi pendidikan, sektor perniagaan, dan organisasi dalam menyediakan alat bantu pendidikan dan latihan yang terkini serta relevan dengan keperluan industri.

Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kerjasama Universiti – Industri (CUIC) mengorak langkah dengan memperluas jaringan industri telah mengatur pertemuan bersama CBAL Solutions Sdn Bhd, baru-baru ini.

Sesi lawatan kerja dan pertemuan yang diketuai Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama dan peluang kerjasama baru.

Menurutnya, fokus perbincangan pada sesi tersebut antaranya adalah kerjasama strategik dalam bidang simulasi perniagaan dan latihan keusahawanan bertujuan meningkatkan keupayaan pelajar, tenaga pengajar, dan usahawan melalui penggunaan teknologi dan pendekatan inovatif dalam pendidikan dan pembangunan keusahawanan.

“Fokus kerjasama strategik utama yang dibincangkan adalah Business Simulations: Train for Trainers kepada komuniti UUM.

“Kerjasama ini akan membangunkan program Train for Trainers bagi melatih tenaga pengajar UUM dalam menggunakan platform simulasi perniagaan interaktif yang dibangunkan oleh CBAL Solutions. Program ini bertujuan untuk memastikan pensyarah mahir dalam menyampaikan latihan berasaskan simulasi kepada pelajar,” katanya.

Dr. Chandrakantan berkata, pelajar UUM akan berpeluang menggunakan teknologi simulasi perniagaan (business simulations software) untuk mensimulasikan senario perniagaan sebenar.

Katanya, pendekatan ini membantu mereka memahami cabaran pengurusan syarikat, pengurusan risiko, dan pembuatan keputusan strategik dalam persekitaran maya yang selamat.

Selain itu fokus perbincangan juga melibatkan Latihan Keusahawanan Menggunakan Software SBS. Melalui perisian Simulated Business Software (SBS) yang ditawarkan oleh CBAL Solutions, pelajar UUM dan bakal usahawan dapat menjalani latihan intensif untuk membina dan menguruskan perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, perisian ini memberikan peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran seperti perancangan kewangan, strategi pemasaran, pengurusan inventori, dan pengurusan sumber manusia.

Menurutnya, program ini juga direka untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai realiti perniagaan dengan mensimulasikan situasi sebenar, termasuk menangani cabaran pasaran dan persaingan global.

“Kerjasama antara UUM dan CBAL Solutions Sdn Bhd ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat dan usahawan yang mampu bersaing di peringkat nasional dan global.

“Dengan sokongan teknologi dan latihan praktikal, inisiatif ini menyumbang kepada usaha negara untuk melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing serta memperkasakan pendidikan keusahawanan di Malaysia,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jaringan Industri CUIC, Dr. Normalisa Md Isa dan Pengerusi The Regency Hotels & Resorts dan Penasihat Safuan Group Berhad, Matsham Ahmad. – Siti Nazirah Jaya

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button