SULAM Advantage: Strategi Promosi Algoritma beri pendedahan kesantunan bahasa kepada komuniti
BESERI, 26 Januari 2025: Perkembangan teknologi telah menyediakan pelbagai platform komunikasi, termasuk media sosial, yang mengubah gaya komunikasi masyarakat. Namun, isu ketidaksantunan bahasa menjadi cabaran besar dan mencalar imej masyarakat Malaysia yang sinonim dengan sopan santun.
Bagi menangani isu ini, pelajar Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT) telah menganjurkan Program Service Learning Malaysia-University For Society (SULAM) bertema Advantage: Strategi Promosi Algoritma di Dewan Seri Malau, Beseri sebagai sebahagian daripada tugasan kursus SBLKK2043 Pragmatik kendalian Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, SLCP, Dr. Nor Azlah Sham Rambely.
Pengarah Program, Aiman Danial Mohd Zaulkarnin berkata, program ini bertujuan untuk menabur bakti kepada masyarakat berdasarkan apa yang dipelajari di dalam bilik kuliah sebagai mahasiswa, khususnya dalam isu kesopanan dan ketidaksantunan bahasa.
“Dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri Beseri, Haziq Asyraf Dun, pelbagai aktiviti utama dijalankan termasuk bengkel aplikasi TikTok dan CapCut, pameran pragmatik, serta perkongsian media sosial untuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Kehadiran peserta tempatan lebih 50 orang membuktikan program ini berjaya mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya. – Muqriz Adam Mahadzir