IBS kukuhkan kesinambungan kerjasama akademik dan penyelidikan bersama UNISSA
Gambar IBS
SINTOK, 17 Februari 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan muhibah ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam, baru-baru ini bersempena dengan penyertaan IBS selaku penganjur bersama dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD), Brunei bagi penganjuran seminar 1st International Conference on Islamic Finance & Sustainability (ICIFS) 2025.
Delegasi terdiri 10 staf akademik IBS diketuai oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) IBS, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab telah disambut oleh Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIM) UNISSA iaitu Dr. Muhammad Zaki Zaini bersama 12 staf akademik dan pentadbiran.
Turut serta dalam pertemuan tersebut adalah wakil dari Fakulti Pembangunan Pengurusan Islam (FPPI) yang diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Anis Malik Thoha dan Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i yang diwakili oleh Dr. Cecep Soleh Kurniawan.
Dr. Norazlina berkata, tujuan utama kunjungan muhibah ini adalah bagi membincangkan pembaharuan semula memorandum persefahaman (MoU) IBS-UNISSA yang bakal tamat pada 30 Julai 2025.
Menurutnya, IBS amat positif dan menyambut baik hasrat Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIM) UNISSA untuk meneruskan kolaborasi yang sedia terjalin.
“Pembaharuan MOU ini dilihat dapat memperluaskan aktiviti penyelidikan dan penerbitan secara bersama dalam memanfaatkan kepakaran yang dimiliki kedua universiti.
“Selain pembaharuan MoU, pihak IBS juga mengambil peluang menerusi kunjungan ini mempromosi program akademik dan kursus eksekutif baharu kepada pihak FEKIM, UNISSA,” katanya.
Selain program akademik BIFB dan BMA, mencuri tumpuan pihak FEKIM, UNISSA adalah program Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHM) yang merupakan program baru dan mempunyai prospek yang besar untuk diterokai di negara Brunei Darussalam sendiri.
Selain itu, pihak FEKIM, UNISSA turut teruja untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kursus sijil halal eksekutif, program professional Ar-Rahnu, dan program TVET (pengurusan masjid) yang ditawarkan IBS, UUM dan berpuas hati dengan penerangan yang disampaikan oleh Pengarah TVET UUM (SLDN), Dr. Muhamad Fikri Aziz yang juga tenaga pengajar program halal UUM.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan Pengurusan Islam (FPPI), Prof. Madya Dr. Anis Malik Thoha menyuarakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan IBS bagi mengendalikan program berbentuk team teaching dalam bidang pengurusan harta.
Hasrat ini disambut baik dua wakil Institut Pengurusan Harta Islam dan Latihan Profesional (I-Wealth) IBS iaitu Dr. Tubagus Thresna Irijanto dan Suraiya Hashim yang turut mencadangkan kolobrasi pengajaran secara atas talian bagi kemudahan kedua belah pihak.
Dr. Anis berkata, program dan kursus yang ditawarkan IBS dilihat amat relevan untuk memenuhi keperluan pengajaran bagi Pusat Kepimpinan dan Pembelanjaran Sepanjang Hayat (Centre of Leadership and Lifelong Learning) UNISSA.
Perbincangan turut melihat potensi kerjasama lain yang boleh di usahakan antara IBS, UUM dan FEKIM, UNISSA seperti program pertukaran pelajar dan mobiliti, program ijazah kolaboratif (sarjana muda dan sarjana), geran penyelidikan sepadan (matching grant), latihan amali (internship) dalam bidang kewangan sosial Islam, dan sebagainya.
Dr. Noraziah Che Arshad selaku Pengerusi Program Pascasiswazah IBS turut berkongsi informasi berkaitan ruang dan peluang untuk mengadakan kolobrasi program pascasiswazah di antara IBS dan UNISSA.
Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor yang turut serta meluangkan masa menyertai delegasi dihujung pertemuan menyatakan pengharapan agar jalinan kerjasama antara IBS, UUM dan FEKIM, UNISSA ini dapat dimanfaatkan bersama demi memupuk dan membina reputasi kecemerlangan akademik dan penyelidikan dalam bidang pengajian kewangan Islam serantau. – Siti Rasyidah Hassan