General

Pensyarah SOL dilantik sebagai Felo Tamu ICCT di The Hague

Gambar Ihsan Dr Mukhriz Mat Rus

BELANDA, 19 Februari 2025: Pensyarah kanan Pusat Pengajian Undang-Undang UUM, Dr Mukhriz Mat Rus telah dilantik sebagai Felo Tamu di International Centre for Counter-Terrorism (ICCT) yang berpengkalan di The Hague, Belanda.

Perlantikan beliau itu bermula dari 13 Januari hingga 17 Mac 2025.

ICCT merupakan sebuah pusat penyelidikan yang diasaskan oleh Parlimen Belanda pada 2010 yang mengumpulkan tenaga pakar dalam bidang keganasan.

ICCT menjalan pelbagai penyelidikan dan menawarkan latihan dan khidmat nasihat kepada kerajaan-kerajaan dan badan-badan antarabangsa dalam usaha membenteras dan mencegah keganasan.

Sebagai felo tamu, Dr. Mukhriz dipertanggungjawabkan untuk menjalan penyelidikan berkenaan undang-undang keganasan di Indonesia dan Malaysia.

Di The Hague, Dr. Mukhriz telah membentangkan kajiannya secara tertutup kepada pegawai badan pencegahan keganasan Belanda, Nationaal Coördinator Terrorismebestrijding en Veiligheid (NCTV), dan wakil dari Badan Nasional Penanggulangan Terorisme, Indonesia (BNPT).

Pada 18 Februari, Dr. Mukhriz turut membentangkan kajiannya dalam sesi perbincangan meja bulat yang dianjurkan oleh ICCT. Para pendakwa dari Pejabat Pendakwa Raya Belanda (Openbaar Ministerie) dan wakil Kedutaan Indonesia di Belanda turut hadir memberi pandangan berkenaan kajian yang dijalan.

Dr. Mukhriz, yang juga Pengerusi Program Undang-Undang SOL menganggap perlantikan ini sebagai pengiktirafan dan peluang bermakna bagi meningkatkan kepakaran, melebarkan jaringan dan mengangkat nama UUM di persada antarabangsa.

Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak pengurusan UUM dan Pusat Pengajian Undang-Undang atas kebenaran dan sokongan serta Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Sumber Manusia yang telah memberi panduan tentang urusan pentadbiran sebelum berangkat ke The Hague.

Semasa berada di sini, Dr. Mukhriz turut mengambil kesempatan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Atase Undang-Undang di Kedutaan Malaysia di The Hague, serta melawat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Parlimen Belanda (Tweede Kamer der Staten-Generaal).

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button