Education

UUM, USM teraju kolaborasi pembangunan bakat menerusi Program Vitrox Padawan 6.0

Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal

BATU KAWAN, 23 April 2026: Seramai 30 peserta telah menyertai sesi onboarding bagi program UUM Vitrox Padawan 6.0 di bawah School of Hard Knocks (SoHK) yang berlangsung di Vitrox Corporation Berhad, Batu Kawan, Pulau Pinang, kelmarin.

Program ini merupakan kohort keenam bagi UUM Vitrox Padawan, yang terus komited dalam menyediakan platform pembangunan bakat serta pendedahan industri kepada pelajar universiti.

Menariknya, sesi Induction Day 2026 ini turut melibatkan penyertaan pelajar daripada Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi program USM Tech X 2.0. Penglibatan kedua-dua institusi ini, termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM), dilihat sebagai satu usaha kolaboratif dalam memperkukuh hubungan antara universiti serta membuka ruang kepada pertukaran idea dan pengalaman dalam kalangan pelajar.

Sesi ini lebih memberi penekanan kepada aktiviti perkenalan antara pelajar UUM dan USM di mana peserta diberi peluang untuk berinteraksi, memperkenalkan latar belakang akademik serta berkongsi minat masing-masing, sekali gus membina keserasian dan semangat kerjasama sejak awal penyertaan dalam program.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada penerangan awal berkaitan struktur program, objektif pelaksanaan serta jangkaan sepanjang tempoh penyertaan. Pihak Vitrox Corporation Berhad juga berkongsi maklumat mengenai budaya kerja, nilai organisasi serta kepentingan kemahiran insaniah yang diperlukan dalam industri teknologi masa kini.

Penyelaras SoHK, Dr. Aidanajwa Sabri berkata, program seperti ini memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri.

Menurutnya, pendedahan awal kepada persekitaran kerja sebenar mampu meningkatkan keyakinan pelajar serta membantu mereka membuat perancangan kerjaya yang lebih jelas dan terarah.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, peserta turut berpeluang mengikuti sesi lawatan fasiliti di Vitrox yang memberikan gambaran sebenar mengenai operasi syarikat, penggunaan teknologi terkini serta suasana persekitaran kerja profesional, sekali gus membantu pelajar memahami aplikasi praktikal ilmu yang dipelajari di universiti.

Melalui penyertaan dalam program ini, pelajar berpeluang memperkukuhkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan serta pemikiran kritis. Di samping itu, interaksi antara pelajar daripada dua universiti ini turut membantu dalam membina jaringan profesional yang lebih luas.

Secara keseluruhannya, Induction Day 2026 ini menjadi titik permulaan penting dalam membentuk pengalaman pembelajaran berasaskan industri yang lebih holistik. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat terus melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran dunia kerjaya pada masa hadapan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button