Bengkel Pembentukan Prosedur Kualiti (QP) wujudkan prosedur kualiti peringkat pascasiswazah
Gambar PPQA
PULAU PINANG, 19 Februari 2025: Bahagian Pengurusan Kualiti, Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) dengan Kerjasama Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) telah menganjurkan Bengkel Pembentukan Prosedur Kualiti (QP) Pascasiswazah di Hompton by the Beach selama dua hari bermula 13 dan 14 Februari lalu.
Penyertaan bengkel ini melibatkan peserta seramai 31 staf akademik dan pentadbiran yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pembentukan Prosedur Kualiti (QP) Pascasiswazah.
Pengarah PPQA, Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin berkata, bengkel ini bertujuan untuk mewujudkan Prosedur Kualiti (QP) di peringkat pascasiswazah.
Menurutnya, QP yang diwujudkan ini akan menjadi rujukan kepada semua pusat pengajian termasuk pusat pengajian siswazah dalam melaksanakan proses kerja Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) berkaitan.
“Program pascasiswazah dimasukkan ke dalam skop Pensijilan MS ISO 9001:2015 bermula pada tahun ini.
“Ini merupakan rentetan daripada teguran secara verbal oleh Ketua Juruaudit SIRIM pada tahun 2023 dalam memastikan tahap kualiti program pascasiswazah UUM. Ini termasuklan pelaksanaan Audit Kualiti Dalaman untuk keseluruhan program pascasiswazah di UUM yang merupakan aktiviti pertama program ini berkaitan pengurusan kualiti,” katanya.
Semasa bengkel berlangsung, peserta telah dikongsi mengenai tatacara pembentukan prosedur kualiti, arahan kerja dan pembentukan carta alir.
Perkongsian tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Kualiti PPQA, Prof. Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador.
Bengkel ini diakhiri dengan pembentangan pembentukan QP mengikut proses oleh peserta bengkel.
Hadir sama, Dekan GSGSG, Prof. Dr. Rusdi Omar dan Ketua Penyelaras bagi Pensijilan MS ISO 9001:20015 Peringkat Pascasiswazah, Prof. Dr. Subramaniam Sri Ramalu. – Siti Hajar Mat Isa