Jalinan kerjasama akademik dan penyelidikan antara IBS dan KUPU SB
Berita dan gambar Dr. Muhammad Fikri Aziz
SINTOK, 20 Februari 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan muhibah ke Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), baru-baru ini.
Delegasi terdiri daripada empat staf akademik IBS yang diketuai oleh Pengurus PB SLDN (TVET) UUM, Dr. Muhamad Fikri Aziz bersama empat pensyarah kanan IBS telah disambut oleh Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, KUPU SB Prof. Madya Dr. Mohd Shahril Ahmad Razimi serta tenaga akademik FPSK dan juga Pusat Ilmu Teras KUPU SB.
Lawatan berkenaan antara lain membincangkan prospek hubungan kerjasama antara kedua-dua belah pihak di samping cadangan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara KUPU SB dan UUM.
Dr. Muhamad Fikri telah memperkenalkan program-program akademik yang ditawarkan oleh IBS dan turut mempromosikan program-program latihan di bawah pusat kecemerlangan IBS antaranya Islamic Financial Planner, Latihan Halal Eksekutif, Program Profesional ar-Rahnu serta program-program TVET.
Pihak IBS juga turut menyampaikan hasrat untuk menjalinkan kerjasama akademik serta penyelidikan dengan pensyarah-pensyarah dari KUPUSB.
Pihak KUPUSB juga berhasrat untuk menjalinkan jaringan ini melalui memorandum persefahamanan (MoU) IBS – KUPUSB. Hal ini kerana pelbagai aktiviti atau program-program yang berpotensi tinggi untuk dijalankan melalui MoU seperti mobiliti pensyarah dan pelajar, webinar antarabangsa, penganjuran konferen akademik Bersama serta penyelidikan.
Kunjungan hormat ini mampu menjadi pemangkin bagi mengeratkan hubungan antara dua negara dalam memperkukuh hubungan akademik dan antarabangsa serta meneroka peluang kerjasama pada masa hadapan.