Education

CUIC, UNIQLO bincang potensi kerjasama dalam latihan industri dan kerjaya

Gambar CUIC

SINTOK, 23 Februari 2025: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan UNIQLO Malaysia telah mengadakan perbincangan awal bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang latihan industri dan peluang kerjaya bagi pelajar UUM.

Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, perbincangan ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan strategik antara dunia akademik dan industri bagi melahirkan graduan yang lebih bersedia untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Menurutnya, ia juga memfokuskan peluang latihan industri di pelbagai cawangan UNIQLO melalui Global Internship Program (GIP) di mana pelajar berpeluang menjalani latihan industri selama empat bulan di Malaysia dengan kemungkinan untuk menyertai latihan industri selama seminggu di Jepun sekiranya terpilih.

Selain itu, katanya, program UNIQLO Management Candidate (UMC) turut diperkenalkan sebagai satu laluan kerjaya bagi graduan yang berminat dalam bidang keusahawanan, peruncitan, dan fesyen.

Menariknya, program ini menawarkan gaji permulaan sebanyak RM5,400 dan terbuka kepada semua graduan dari pelbagai bidang pengajian.

UNIQLO, sebuah jenama fesyen antarabangsa yang berpangkalan di Jepun terkenal dengan produk pakaian berkualiti tinggi yang mengutamakan inovasi dan keselesaan. Syarikat ini beroperasi di lebih 25 negara dan merupakan antara peruncit pakaian terkemuka di dunia dengan konsep LifeWear yang menawarkan fesyen praktikal untuk semua lapisan masyarakat.

Perbincangan ini juga merupakan langkah awal ke arah mewujudkan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dalam masa terdekat.

Jika kerjasama ini direalisasikan, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar UUM untuk mengembangkan kemahiran mereka serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri. UNIQLO Malaysia turut menjemput wakil CUIC untuk mengadakan perbincangan lanjut di ibu pejabat mereka.

Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan graduan UUM dalam membina kerjaya di syarikat antarabangsa, selaras dengan usaha universiti dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui jaringan industri yang kukuh.

Di samping itu, CUIC terus komited dalam membina hubungan erat dengan industri bagi memastikan graduannya kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

Turut hadir, Pengarah Pusat Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (CDGEC), Dr. Fikriyah Abdullah; Timbalan Pengarah Jaringan Industri CUIC, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa, manakala pihak UNIQLO Malaysia diwakili oleh Pegawai Kanan Eksekutif Sumber Manusia, Cik Nic Ho. – Siti Nazirah Jaya

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button