Kemudi universiti dengan nilai integriti
SINTOK, 24 Februari 2025 – Pegawai Pengurusan dan Profesional perlu bijak mengurus dan mengawal integriti diri, berdisiplin, berhemah, bermotivasi, berilmu dan berkemahiran tinggi adalah kunci kehebatan seseorang pegawai.
Berucap pada Majlis Ikrar Integriti Pentadbir UUM 2025 Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pegawai dalam skim pentadbiran berdepan pelbagai cabaran justeru tanggungjawab mereka sangat penting untuk menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan universiti.
“Kita melayari 41 tahun ini dengan pelbagai pencapaian. Saya percaya ini semua adalah kerana komitmen dan kesungguhan warganya. Kecekapan, kemahiran dan ketertinggian ilmu adalah faktor terbesar pemacu kejayaan.
“Dalam perjumpaan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz minggu lalu, banyak yang dibincangkan tentang integriti termasuk Exit Policy.
“Integriti sering dikaitkan dengan rasuah. Dari segi etika integriti dianggap kejujuran, ketepatan, ketekalan kita dalam melaksanakan tanggungjawab, kebijaksanaan membuat keputusan dan mengurus masa.
“Adakah kita berlaku jujur dengan masa kerja? Cuba teliti sejauh mana kita jujur dengan masa yang ditetapkan, sejauh mana kita melaksanakan integriti sepanjang perkhidmatan secara berterusan bukannya secara lompat-lompat, sekejap berintegriti sekejap tidak berintegriti,” ucapnya di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, semalam.
Beliau yakin pegawai menghadapi cabaran yang amat berat apatah lagi dengan zaman yang berubah dengan pelbagai rencam menjadikan institusi pentadbir umpama sebuah kapal yang terapung di atas gelombang lautan.
“Jika tidak dikemudi dengan nilai integriti yang tinggi maka universiti ini juga umpama sebuah kapal yang tiada hala tujunya. Dengan ilmu dan kemahiran, semua daripada kita mampu melaksanakan kerja. Namun, tanpa nilai diri atau nilai integriti, ilmu dan kemahiran adalah sia-sia,” pesannya.
Beliau mengingatkan golongan pegawai yang bakal mengurus tadbir UUM ini sentiasa mempersiapkan diri dengan nilai diri yang baik, ilmu pengetahuan, kecekapan dalam pekerjaan, disiplin dan sahsiah diri. UUM telah ada nilai integriti yang diterapkan sejak dulu lagi iaitu Nilai Bersama.
Tegasnya, untuk melahirkan pegawai yang berintegriti, latihan berkala yang berfokus hendaklah dilaksanakan. Modul latihan hendaklah bersifat objektif terhadap setiap inci tugas.
Dalam pada itu beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Jabatan Sumber Manusia dan Jabatan Canselori khususnya Unit Integriti di atas usaha strategik ini.
Majlis turut menyaksikan lafaz Ikrar Integriti yang dipimpin oleh Pegawai Unit Integriti, Mohammad Faizal Haji Azid @ Aziz seterusnya Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah menyampaikan ucaptama diikuti Forum Integriti Pentadbir UUM yang dibarisi oleh Bursar, Abdul Roni Baharom, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik, Azian Nafiah dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Madya Dr. Noridayu Mahat.