Education

UUM meterai LoI kerjasama dengan Van Lan University Vietnam

Gambar Hairul Nizam Zahari

BANDAR SUNWAY, 24 Februari 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menandatangani surat hasrat (Letter of Intent) dengan Van Lang University (VLU) Vietnam dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.

LoI yang ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Naib Presiden VLU Vietnam, Ms. Bui Pham Lan Phuong menandakan komitmen bersama dalam meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang akademik dan penyelidikan.

Dr. Mohd Foad berkata, UUM dan VLU Vietnam bersetuju untuk bekerjasama secara baik dengan menggembleng kepakaran, pengetahuan, dan sumber masing-masing bagi menganjurkan program dan kursus yang akan dirangka bersama.

“LoI ini bukan kontrak yang mengikat secara sah tetapi merupakan asas kepada penyediaan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) pada masa akan datang.

“LoI ini akan berkuat kuasa selama 12 bulan sehingga kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan ke peringkat seterusnya,” katanya.

Perjanjian ini diharapkan akan membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi akademik, pertukaran pelajar dan staf, serta penyelidikan yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Majlis menandatangani LoI ini berlangsung sempena ASEAN Universities Exhibition and Forum (AEF) 2025 yang menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi dari rantau ASEAN bagi membincangkan dan memeterai kerjasama strategik dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Kerjasama ini selari dengan aspirasi UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka dan komitmennya untuk terus mengukuhkan jaringan antarabangsa dalam dunia akademik.

Dengan jalinan strategik ini, UUM terus mengorak langkah dalam meningkatkan reputasi sebagai institusi pengajian tinggi yang berdaya saing di peringkat global.

Menyaksikan majlis ini ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button