Kunjungan hormat Pengarah Bahagian Hubungan Industri perkukuh kerjasama strategik
SINTOK, 26 Februari 2025: Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dato Dr Mohd Sharil Abdullah telah melakukan kunjungan hormat ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama delegasi dari Kementerian Pendidikan Tinggi.
Ketibaan beliau yang disertai rombongan tersebut disambut dengan penuh mesra oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan di pejabatnya semalam.
Dato Dr Mohd Sharil berkongsi inisiatif tahun 2025 berkaitan aktiviti berkaitan industri dan komuniti yang di rancang dan di laksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sepanjang tahun 2025.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana santai namun penuh makna itu telah membuka ruang untuk berbincang mengenai pelbagai isu semasa, selain saling bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini dalam dunia pendidikan tinggi dan industri.
Kunjungan tersebut juga turut diadakan bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan-timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Awam yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat UUM.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail, serta Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam.
Kunjungan ini jelas mengeratkan hubungan antara UUM dan Kementerian Pendidikan Tinggi serta memperkukuh kerjasama strategik antara universiti dan KPT.