Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan-timbalan Naib Canselor UA di UUM
Sintok, 26 Februari 2025: UUM menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan-timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Awam telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.
Mesyuarat ini menjadi platform untuk membincangkan strategi dan inisiatif baharu dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama antara universiti, industri dan masyarakat. Ia juga memastikan semua universiti awam bergerak seiring dengan keperluan pembangunan negara dan revolusi industri.
Mesyuarat itu diadakan bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara pihak industri dan masyarakat, selain mengeratkan hubungan antara pihak universiti dengan sektor industri.
Melalui usaha ini universiti dapat memahami keperluan industri manakala industri dapat memberi input berguna bagi menyelaraskan program akademik dan latihan mengikut kehendak pasaran di samping membentangkan laporan mengenai program yang telah dijalankan.
Objektif mesyuarat adalah untuk menyelaras usaha universiti awam dalam memperkukuhkan hubungan strategik dengan industri dan masyarakat selaras dengan aspirasi nasional untuk pembangunan ekonomi dan sosial.
Mesyuarat ini menjadi medan untuk membincangkan cabaran semasa seperti isu transformasi digital, kelestarian alam sekitar dan penyelesaian kepada masalah masyarakat melalui inovasi dan penglibatan industri.