Campus

Pelancaran tabung penghargaan istimewa  buat pesara UUM

SINTOK, 27 Februari 2025: Pelancaran Tabung Kebajikan Pesara UUM dapat memberi manfaat kepada mereka yang telah bersara, terutamanya dalam memastikan kebajikan terus dijaga selepas menamatkan perkhidmatan.

Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah berkata, tabung ini diwujudkan dengan matlamat   untuk memberi sokongan kepada pesara UUM dalam menangani pelbagai cabaran kehidupan di usia emas.

Beliau menyifatkan penubuhan tabung ini merupakan salah satu usaha terbaik untuk membantu pesara yang memerlukan di usia senja.

“Ada di antara pesara yang mengalami cabaran dan kesukaran dalam kehidupan selepas bersara jadi mereka ini perlu dibantu dengan cara terbaik demi kesejahteraan fizikal dan mental.

Katanya, pelancaran tabung ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada mereka yang telah bersara, terutamanya dalam memastikan kebajikan mereka terus dijaga selepas menamatkan perkhidmatan.

Beliau menegaskan bahawa universiti sentiasa memastikan pesara terus diberi perhatian dan sokongan, tanpa mengira waktu dan keadaan justeru usaha ini akan memperkukuhkan hubungan antara universiti dan pesara serta memberi impak positif kepada masyarakat.

“Pesara  telah memberi banyak sumbangan yang tidak ternilai kepada perkembangan UUM, kita berbesar hati menyokong program pesara sekali gus menunjukkan betapa tinggi semangat kerjasama yang sentiasa bersatu untuk menjaga kebajikan pesara,” katanya.

Selain itu katanya, pesara juga boleh menarik lebih ramai ahli dengan mewujudkan persekitaran yang mesra seperti sebuah keluarga, memberi peluang kepada ahli untuk bagi idea dan menyumbang mengikut kepakaran masing-masing untuk memberi manfaat kepada pesara dalam menjalani kehidupan.

“Bercakap dengan bumi supaya didengari oleh Yang Maha Kuasa dalam erti kata lain banyakkan bersujud meminta pada Allah, bekerja untuk menjalankan amanah bukan bekerja untuk wang kerana akan timbul masalah bila kita tidak dapat apa yang dikejar,” pesannya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Tabung Kebajikan Pesara UUM, di Dewan Seminar Pusat Islam pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pesara UUM Sintok, Mohd Hanizan Zalazilah berkata, usaha ini salah satu inisiatif bagi memastikan pesara terus dilindungi kebajikannya dalam tempoh usia emas.

“Kita ingin memberikan bantuan kepada pesara dalam beberapa aspek penting seperti kesihatan, kebajikan dan pelbagai keperluan sosial lain.

“Pelancaran Tabung Kebajikan Pesara UUM juga membuka peluang kepada lebih ramai pihak untuk menyumbang serta memberikan manfaat yang berterusan kepada para pesara UUM,” ujarnya.

Selain itu katanya, tabung ini juga bertujuan untuk mewujudkan sebuah komuniti yang lebih peka dan prihatin terhadap kesejahteraan mereka yang telah banyak berjasa.

“Ia adalah satu usaha untuk memastikan mereka yang telah bersara tidak merasa terpinggir, malah terus merasai kasih sayang dan sokongan daripada keluarga besar UUM.

“Tabung Kebajikan Pesara ini bukan sahaja memberikan bantuan kewangan, tetapi juga menjadi sebuah platform untuk pesara terus terhubung dengan universiti.   pelbagai program sokongan seperti sesi perubatan, peluang latihan, dan khidmat nasihat diaturkan untuk pesara, agar mereka sentiasa merasa dihargai,” ujarnya.

Selain itu beliau turut menerangkan pelbagai aktiviti pesara dan terus komited merancang untuk menganjurkan aktiviti berkala, seperti sesi pertemuan dan perayaan khas bagi pesara serta mengeratkan lagi hubungan mereka dengan universiti dan sesama pesara.

“Dengan pelancaran Tabung ini, kita berharap bahawa ia dapat menjadi sebuah contoh yang baik, ini bukan hanya soal memberi wang tetapi ia adalah penghargaan yang tulus ikhlas terhadap segala pengorbanan pesara,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button