Program Kemenjadian Guru 2025
SINTOK, 4 Mac 2025 – Dalam usaha memperkukuhkan peranan bakal pendidik sebagai agen perubahan dalam dunia pendidikan, Program Kemenjadian Guru 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Seminar Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), UUM dengan penyertaan seramai 180 pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) sesi 2024/2025.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor, College of Arts and Sciences (CAS), Prof. Dr. Osman Bin Ghazali, ditemani Dekan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Bin Haji Othman. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan guru dalam membentuk masa depan generasi muda dan perlunya pendidikan berteraskan nilai integriti, profesionalisme, serta kemahiran pengurusan kelas yang mantap.
Program ini menampilkan pelbagai slot yang memberi pendedahan holistik kepada bakal guru. Antara slot utama ialah “Teknik Asas Pertolongan Cemas” yang dikendalikan oleh Dr. Farizal bin Mohd Noordin dari Kedah Medical Centre (KMC) dan pasukannya. Slot ini bertujuan melengkapkan bakal pendidik dengan kemahiran asas dalam menangani kecemasan yang mungkin berlaku di sekolah.
Selain itu, satu forum khas bertajuk “Memahami Isu Bahan Terlarang: Peranan Guru dalam Mendidik dan Mencegah” turut diadakan dengan kerjasama wakil daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu. Forum ini menekankan peranan guru dalam mengenal pasti dan menangani penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan pelajar serta strategi intervensi yang berkesan.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia, Prof. Madya Dr. Farah Mohamad Zain, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE). Beliau menegaskan bahawa program seperti ini bukan sahaja membekalkan ilmu, malah membentuk guru yang lebih bersedia dari segi mental, fizikal, dan emosi dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan yang semakin kompleks.
Program Kemenjadian Guru 2025 merupakan satu inisiatif selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, yang menitikberatkan pembangunan modal insan berkualiti tinggi serta pedagogi yang relevan dengan keperluan semasa. Dengan penganjuran program ini, diharapkan bakal guru dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam perjalanan mereka sebagai pendidik yang berdedikasi. – Amira Hadirah Norhasmadi