Asia

Pembersihan Gua Kerbau bersama komuniti Kampung Kodiang Lama

KODIANG, 4 Mac 2025: Sebagai sebahagian daripada program INASIS Proton International Inbound Mobility Universiti Utara Malaysia, satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat Pembersihan Gua Kerbau telah diadakan dengan kerjasama penduduk Kampung Kodiang Lama.

Program ini bertujuan untuk memelihara keindahan warisan alam semula jadi serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan ekosistem gua.

Aktiviti pembersihan ini melibatkan mahasiswa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) bersama komuniti setempat.

Aktiviti yang dijalankan seperti pengumpulan sampah, pembersihan kawasan dalam gua serta kerja-kerja penyelenggaraan laluan masuk ke gua bagi memastikan kawasan ini kekal bersih dan selamat untuk dikunjungi.

Menurut Pengetua INASIS Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin, inisiatif ini bukan sekadar usaha gotong-royong, tetapi juga satu bentuk pendidikan luar bilik kuliah yang mendidik mahasiswa mengenai tanggungjawab sosial dan pemeliharaan alam sekitar.

“Melalui aktiviti sebegini, mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai agen perubahan dalam komuniti, malah mereka turut dididik untuk lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar.

Gua Kerbau mempunyai nilai sejarah dan ekologi yang tinggi, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara warisan ini untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Kodiang Lama, Yaakob Ismail, yang menzahirkan penghargaan kepada mahasiswa dan pihak universiti atas usaha murni ini.

“Kerjasama antara mahasiswa dan penduduk kampung dalam menjaga kebersihan Gua Kerbau amat kami hargai. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan tempat ini kekal terpelihara dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta pelancong yang datang berkunjung,” katanya.

Kejayaan program CSR Pembersihan Gua Kerbau ini membuktikan bahawa kerjasama antara institusi akademik dan masyarakat setempat mampu membawa impak positif dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Dengan kesedaran yang semakin meningkat, diharapkan lebih banyak inisiatif sebegini dapat dijalankan pada masa hadapan untuk memastikan kelestarian khazanah alam terus terjaga bagi generasi akan datang.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button