Campus

Iftar Perdana UUM Eratkan Silaturahim

SINTOK, 9 Mac 2025:  Majlis Iftar Perdana UUM 2025/1446H bukan sahaja menjadi acara berbuka puasa, malah juga sebagai satu simbol perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga universiti dengan matlamat untuk terus mengeratkan silaturahim, memperbaiki diri, dan sama-sama merasai keindahan Ramadan.

Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan mengajak warga kampus untuk terus memanfaatkan bulan yang mulia ini dengan memperbanyakkan ibadah, mendekatkan diri kepada Allah serta memperkukuh silaturahim.

Beliau berkata, majlis ini diadakan bagi meraikan bulan Ramadan yang mulia serta mengeratkan hubungan silaturahim antara warga UUM, bersama-sama dalam menunaikan kewajipan berpuasa, berbuka bersama-sama sehinggalah ke sembahyang tarawih.

“Ramadan adalah bulan yang penuh rahmat dan keampunan. Ia bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga waktu terbaik untuk kita memperkukuh hubungan sesama insan, membentuk keperibadian yang lebih baik, serta meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

“Ramadan merupakan sebuah makmal yang bertujuan melatih seseorang dalam mengurus emosi dan amarah.  Ini kerana suhu marah dan emosi negatif biasanya meningkat dalam bulan puasa,” ujarnya.

Menurutnya, Ramadan merupakan bulan yang mendidik kita tentang erti kesederhanaan dan kepedulian terhadap mereka yang kurang bernasib baik.

“Islam menggalakkan kita untuk memperbanyakkan amalan sedekah dan membantu golongan yang memerlukan, seperti fakir miskin, anak-anak yatim, serta mereka yang dalam kesusahan. Amalan memberi, walaupun sedikit, mampu membawa kebahagiaan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Semoga kita mengambil peluang dalam bulan yang mulia ini untuk memperbanyakkan sedekah, meringankan beban saudara, dan meraih keberkatan yang dijanjikan oleh Allah SWT,” ucapnya di Masjid Sultan Badlishah, UUM, malam tadi.

Beliau berharap Ramadan kali ini membawa keberkatan dan memberi kekuatan untuk terus berusaha menjadikan UUM sebagai institusi ilmu yang unggul, dalam bidang akademik, pembentukan sahsiah dan nilai spiritual.

Beliau turut menyempurnakan Penyampaian Sumbangan Ihya Ramadan kepada pelajar yang memerlukan.

Tetamu dihidangkan dengan alunan al-quran dan tazkirah. Sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang, para hadirin menikmati sajian yang menyelerakan sebelum menunaikan sembahyang Maghrib dan sunat tarawih.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button