Education

CUIC perluas hubungan strategik antarabangsa dengan Hotel Concorde Singapura

Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya

SINTOK, 17 Mac 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dalam sektor industri menerusi satu mesyuarat atas talian bersama wakil Hotel Concorde Singapura.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah (Jaringan Industri) CUIC, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa,  manakala Hotel Concorde Singapura diwakili oleh Nicholas Tan.

Dr. Normalisa berkata, mesyuarat diadakan bagi membincangkan peluang latihan industri pelajar serta meneroka potensi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama jangka panjang.

Pada mesyuarat tersebut, Hotel Concorde Singapura menyatakan kesediaan mereka untuk menerima pelajar UUM bagi tujuan menjalani latihan industri dalam bidang pelancongan, perhotelan, dan pengurusan acara.

Perbincangan turut menekankan aspek pengalaman pembelajaran praktikal yang boleh diperoleh oleh pelajar melalui latihan di hotel bertaraf antarabangsa serta manfaat yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak.

Antara isu yang dibincangkan termasuklah kebajikan pelajar seperti penginapan, pengangkutan, dan kadar elaun yang bakal diterima oleh pelajar sepanjang tempoh latihan.

Pihak Concorde memberi jaminan bahawa kemudahan dan sokongan yang mencukupi akan disediakan bagi memastikan pengalaman latihan yang positif dan selamat.

Mesyuarat ini turut membincangkan kepentingan menjaga hak pelajar dan memastikan mereka tidak dieksploitasi sebagai tenaga kerja murah. UUM menekankan kepentingan memastikan pelajar diberikan perlindungan sewajarnya, termasuk insurans dan faedah yang setimpal dengan pengalaman yang mereka peroleh sepanjang latihan industri.

Pihak Hotel Concorde Singapura memberi jaminan bahawa mereka akan mematuhi peraturan tenaga kerja yang ketat di Singapura serta menyediakan perlindungan insurans bagi pelajar sepanjang menjalani latihan di sana.

Turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Prof. Madya Dr. Johan Affendi Ibrahim, Talent Recruitment Executive dari Recruit Place & Train Pte Ltd., Ehsan Khodayari dan pegawai-pegawai kanan universiti.

Dengan perbincangan yang positif serta persefahaman yang dicapai, sesi diskusi awal ini dijangka menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih kukuh antara UUM dan Hotel Concorde Singapura dalam menyediakan peluang latihan industri yang berkualiti kepada pelajar universiti.

Hubungan ini juga diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman latihan bertaraf antarabangsa serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri hospitaliti global.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button