“Detektif Geometri” tarik penyertaan 62 murid SK Felda Chuping
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Aida Mauziah Benjamin
SINTOK, 20 Mac 2025: Pusat Pengajian Sains (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan aktiviti bertemakan “Detektif Geometri” di bawah program GenSTEM, baru-baru ini.
Ketua program, Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad berkata, ianya merupakan sebahagian daripada inisiatif yang disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi pelaksanaan Program Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) 1003 yang membawa simbolik “100 Saintis, 100 Sekolah, 100 Hari”.
Bersama empat pensyarah lain juga dari SQS, aktiviti yang berlangsung selama tiga jam ini telah menarik penyertaan seramai 62 murid Tahun 5 dan Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Felda Chuping, Perlis.
Program dimulakan dengan sesi “ice-breaking” melalui permainan “Kotak Beracun” yang bertujuan menceriakan suasana dan merapatkan hubungan antara pelajar.
Misi pertama, “Siasatan Bendera” menampilkan aktiviti pengiraan perimeter dan luas bendera Malaysia dalam pelbagai saiz, sekali gus membantu peserta mengenali bentuk geometri 2D dan konsep ukuran dalam kehidupan seharian.
Program diteruskan dengan misi kedua, “Cabaran Tangram” iaitu permainan teka-teki geometri yang menguji pemikiran logik dan kreativiti peserta dalam menyusun pelbagai bentuk berdasarkan konsep geometri.
Setiap misi dijalankan secara berkumpulan bagi menggalakkan interaksi, komunikasi, serta membangunkan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
Kejayaan program ini dilihat melalui pencapaian objektifnya dalam menyemai minat terhadap STEM dalam kalangan murid-murid, serta membuktikan bahawa pembelajaran Sains dan Matematik mampu menjadi aktiviti yang menyeronokkan dan bermakna.